KUCHING: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,800 atau penjara sebulan jika gagal membayar oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri ayam mentah dan bahan-bahan membuat kek di sebuah pasar raya.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Amira Kamronny, 35, selepas dia mengaku bersalah terhadap Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini pada jam 12.09 tengah hari, 29 Mac 2024.

Berdasarkan fakta kes, seorang pengadu melihat tertuduh menuju ke arah lif pasar raya tersebut itu untuk ke tempat letak keretanya sambil menolak troli yang penuh dengan barangan basah dan kering tanpa membuat sebarang bayaran.

Pengadu berjaya menahan tertuduh dan membawanya ke bilik tahanan keselamatan pasar raya tersebut.

Laporan polis telah dibuat dan tertuduh telah ditahan untuk tindakan lanjut.

Siasatan mendapati tertuduh mengaku telah mengambil barang tersebut dari pasar raya tanpa membuat sebarang bayaran.

Difahamkan, tertuduh mengaku mencuri barangan tersebut kerana mempunyai kekangan kewangan untuk membeli barangan membuat biskut dan kuih-muih sempena Hari Raya.

Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.