Mohd Roslan melakukan gimik pelancaran Pakej Pelancongan Sarawak Delta Geopark dan Gawai 2024 sambil disaksikan yang lain di Hotel Roxy Impiana hari ini. -Gambar Chimon Upon

KUCHING: Tourism Malaysia semalam melancarkan Pakej Pelancongan Sarawak Delta Geopark dan Gawai 2024 bagi mempromosikan keunikan produk pelancongan geopark serta sambutan Hari Gawai di Sarawak kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Sebanyak 37 pakej pelancongan telah dibangunkan dengan kerjasama 13 pengusaha pelancongan dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang antara lain menawarkan lawatan ke geotapak, tapak biologi dan tapak budaya di sekitar geopark merangkumi daerah Kuching, Bau dan Padawan.

Antara pakej yang ditawarkan termasuk Pakej Geological, Heritage & Exploration @ Sarawak Delta Geopark, The Hidden Prehistory & Geological Sites Package @ Sarawak Delta Geopark, Pakej Cloud Glamping @ Sarawak Delta Geopark, Nature & Cultural Package @ Sarawak Delta Geopark, Pakej Gawai Open House at Rumah Panjang Matop, Pakej Babulang Festival di Limbang dan Pakej Irau Aco Lun Bawang Festival.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Mohd Roslan Abdullah berkata, pembangunan pakej itu adalah sebahagian daripada usaha mempelbagaikan pilihan destinasi pelancongan selaras dengan persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata kesemua pakej pelancongan itu telah dimasukkan ke dalam risalah yang kini boleh dimuat turun dari laman web Tourism Malaysia iaitu www.malaysiatravel.

“Pembangunan pakej ini juga dapat memangkin pemeliharaan warisan, sejarah dan budaya di samping mempelbagaikan aktiviti ekonomi dan penglibatan masyarakat setempat untuk menjana pendapatan,” katanya pada majlis pelancaran yang diadakan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mohd Roslan mewakili Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia Manoharan Periasamy pada majlis itu.

Beliau menjelaskan pakej Sarawak Delta Geopark & ​​​​Gawai 2024 dibangunkan berikutan bengkel dan lawatan produk pelancongan selama empat hari dan tiga malam yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak pada 16 hingga 19 Oktober tahun lepas.

Turut menyertai bengkel itu katanya, ialah Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sarawak serta agensi pelancongan dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Ujarnya, antara potensi pelancongan yang diterokai termasuk tapak geopark yang menarik seperti Tasik Biru, Gua Fairy, Taman Paku Rockmaze, Rumah Panjang Annah Rais, Homestay Bung Jagoi dan Kampung Sapit (juga dikenali sebagai ‘Village Above The Cloud’)

“Seperti yang kita sedia maklum, Sarawak Delta Geopark telah diisytiharkan sebagai geopark negara keenam pada 20 Jun 2022. 

“Berkeluasan 3,112 kilometer persegi, kawasan ini dipenuhi dengan pelbagai khazanah sejarah, flora dan fauna serta budaya tersendiri. 

“Keunikan termasuk 28 geosites, 12 tapak biologi dan 14 tapak budaya,” katanya.

Beliau menambah, Tourism Malaysia menyedari kepentingan dan potensi Sarawak Delta Geopark dalam membantu menarik pelancong melawat Sarawak.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab mempromosikan industri pelancongan negara, Tourism Malaysia juga akan membantu memasarkan pakej ini.

“Promosi bukan sahaja di peringkat domestik, malah di peringkat antarabangsa melalui pejabat Tourism Malaysia di luar negara dengan kerjasama agensi pelancongan asing,” jelasnya.

Pada sidang media, beliau turut menyatakan keyakinan pakej pelancongan ini akan membantu dalam mempercepatkan pengiktirafan Sarawak Delta Geopark oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Timbalan Pengarah Jabatan Hutan Semilan Ripot yang turut hadir berkata Sarawak menyasarkan untuk mencapai pengiktirafan UNESCO untuk Geopark pada 2026 dan jabatan itu telah menubuhkan unit bagi tujuan ini.