Penduduk Palestin dan pengamal media tempatan memeriksa kerosakan susulan serangan udara Israel yang menyasari kem khemah di hadapan Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah, tengah Semenanjung Gaza kelmarin. - Gambar AFP

SEMENANJUNG GAZA: Kementerian kesihatan Gaza semalam berkata tentera Israel telah mengundurkan kereta kebal dan kenderaan dari kompleks yang menempatkan hospital utama Al-Shifa, meninggalkan puluhan mayat bergelimpangan.

Seorang wartawan AFP dan saksi melihat kereta kebal dan kenderaan tentera rejim berundur namun setakat ini tiada pengesahan segera mengenai sebarang pengunduran.

Saksi berkata, puluhan serangan udara dan bedilan mortar telah disasarkan ke atas kompleks di utara Kota Gaza itu.

Pejabat media kerajaan Gaza berkata, serangan udara tersebut melindungi kenderaan yang berundur terbabit.

Rejim melancarkan serangan pada 18 Mac lalu dan menggambarkannya sebagai 'tepat' menyasari pejuang Hamas yang didakwa berpangkalan di kompleks tersebut.

Ia sebelum ini mendakwa 200 pejuang telah dibunuh dalam pertempuran di sekitar Al-Shifa.

Rejim juga menerbitkan rakaman kononnya senjata api dan wang yang dirampas dari hospital itu yang didakwa milik Hamas dan sebuah lagi kumpulan pejuang Jihad Islam.

Hamas telah berkali-kali menafikan mereka berpangkalan di Al-Shifa dan pusat kesihatan lain.

"Puluhan mayat, ada di antaranya sudah mereput, telah ditemui bergelimpangan di sekitar kompleks perubatan Al-Shifa.

"Tentera Israel berundur dari kompleks perubatan Al-Shifa selepas membakar bangunan-bangunan yang ada, mengakibatkan ia tidak dapat berfungsi sepenuhnya.

"Skala kemusnahan di dalam kompleks dan bangunan sekitarnya amat besar," menurut kementerian.

Wartawan AFP di tempat kejadian berkata, beberapa bangunan di dalam kompleks tersebut rosak dan ada di antaranya hangus.

Seorang doktor memberitahu AFP lebih 20 mayat telah ditemui dan ada di antaranya berkecai digilis kenderaan tentera yang berundur.

Tatkala ratusan ribu penduduk Gaza kehilangan rumah akibat genosid itu, ratusan lagi mendapatkan perlindungan di kompleks berkenaan sebelum serangan tersebut yang merupakan kali kedua selepas serangan pada November lalu.

Serangan udara maut sepanjang malam kelmarin terus mengganyang kawasan lain di Semenanjung Gaza awal semalam tatkala pertempuran tercetus di beberapa lokasi, mengakibatkan sekurang-kurangnya 60 orang maut, menurut kementerian semalam.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam hantaran X berkata, serangan udara Israel kelmarin mengenai sebuah kem khemah di dalam pekarangan Hospital Al-Aqsa di tengah Gaza, mengakibatkan empat maut dan 17 cedera.

Serangan udara itu disaksikan pasukan WHO yang dihantar untuk menilai keperluan dan mengumpul inkubator untuk utara Gaza, tambah Tedros.

Dalam pos susulan beliau berkata, 21 pesakit telah meninggal dunia di Al-Shifa sejak 18 Mac lalu.

Hospital terbesar Gaza itu hanya mempunyai sebotol air untuk setiap 15 orang, katanya.

Tedros mengulangi rayuan agar pesakit, profesional kesihatan dan pekerja bantuan dilindungi serta serangan ke atas hospital dihentikan.

Setakat ini 10 hospital di Semenanjung Gaza masih beroperasi pada tahap minimum berbanding 36 buah sebelum genosid, menurut WHO.

Menurut kementerian, angka terbaharu kematian dalam kalangan penduduk Palestin adalah 32,782 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Di sebalik ketegangan dengan penyokong tegarnya Amerika Syarikat (AS), rejim Israel dijangka menerima bom dan jet pejuang bernilai berbilion dolar daripada Washington, lapor Wall Street Journal yang memetik pegawai yang tidak dinamakan.

Rejim Israel semalam menyatakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah menjalani pembedahan angin pasang setelah doktor menemui masalah tersebut pada Sabtu semasa pemeriksaan rutin.

Sementara itu, puluhan pendatang haram Yahudi membanjiri jalanan Baitulmuqaddis untuk malam kedua berturut-turut kelmarin menuntut lebih usaha bagi membebaskan tebusan di Gaza dan pengunduran Netanyahu.

Penunjuk perasaan menyekat sebatang lebuh raya utama selepas rali terdahulu di hadapan bangunan parlimen, menyalakan api dan melambaikan bendera. - AFP