MIRI: Padah terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah, seorang lelaki didenda RM2,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
    
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh supaya menjalani pengawasan oleh pihak polis selama tempoh dua tahun.
    
Syuhaimi Annis, 46, dari Pujut 2 di sini telah didakwa mengikut  Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.
    
Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah  menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7 malam, 9 Oktober 2023 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.
    
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman di hadapan Majistret Randu Rangen, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.