ISLAMABAD: Seorang lelaki yang didakwa merakam perbuatan abangnya mencekik adik perempuan mereka sehingga mati telah ditangkap susulan kes terkini 'pembunuhan demi maruah' yang menimbulkan kemarahan umum, kata polis Pakistan kelmarin.

Maria Bibi, 22, dibunuh pada malam 17 Mac lalu oleh abangnya Muhammad Faisal di hadapan bapanya Abdul Sattar, berhampiran bandar Toba Tek Singh di wilayah timur tengah Punjab.

Sebuah video yang dirakam seorang lagi abang wanita itu, Shehbaz, yang telah menjadi tular, menunjukkan Faisal mencekik gadis itu di atas katil di rumah keluarga itu tatkala bapa mereka duduk berdekatan.

Dalam video itu, Shehbaz berkata, "ayah, suruh abang lepaskan", tetapi dinafikan dan abangnya terus mencekik mangsa yang sudah tidak bergerak itu selama lebih dua minit.

Apabila Faisal selesai, bapanya memberikannya air untuk diminum.

"Polis dimaklumkan pada 24 Mac gadis itu tidak mati atas sebab semula jadi.

"Kami mendaftarkan kes ini, menjadi pengadu sendiri," kata Ata Ullah, pegawai polis di Toba Tek Singh memberitahu AFP melalui telefon.

Sattar dan Faisal ditangkap serta-merta, manakala Shehbaz ditahan pada petang Sabtu untuk menentukan tahap penglibatannya.

Pembunuhan itu mempunyai semua ciri-ciri  'pembunuhan demi maruah' , tambahnya.

Isteri Shehbaz, yang turut muncul dalam video itu, juga ditahan.

Kebanyakan masyarakat Pakistan mengamalkan peraturan kehormatan yang ketat, dengan keputusan wanita mengenai pendidikan, pekerjaan dan suami mereka ditetapkan ahli keluarga lelaki.

Beratus-ratus wanita dibunuh oleh lelaki di Pakistan setiap tahun kerana didakwa melanggar peraturan ini.

Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan, 316 jenayah 'pembunuhan demi maruah' terhadap wanita direkodkan di negara itu pada 2022.

Namun banyak kes tidak dilaporkan, kerana keluarga cenderung untuk melindungi pembunuh yang selalunya saudara lelaki.

Motif pembunuhan masih belum dapat dipastikan.

Polis berkata, Faisal didakwa beberapa kali melihat adiknya bercakap melalui panggilan video dengan seorang lelaki tidak dikenali.

Ketua menteri wilayah Punjab Maryam Nawaz menetapkan kes itu sebagai berprofil tinggi, istilah yang digunakan untuk kes penting walaupun sistem perundangan masih membenarkan lelaki membunuh wanita tanpa hukuman. - AFP