M Kulasegaran ketika menghadiri Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.-Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2023, Rang Undang-Undang Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Lembaga Lebuh Raya Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2023. 

Rang undang-undang bagi meminda Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 1999 diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 11 Ahli Dewan Negara mengambil bahagian membahaskannya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran semasa sesi penggulungan berkata pindaan kepada rang undang-undang itu bertujuan mengukuhkan Suhakam demi rakyat Malaysia.

Beliau berkata Suhakam tidak akan bertindak seperti badan penguatkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang sememangnya diperuntuk dengan kuasa penguatkuasan di bawah akta masing-masing.

"Sungguhpun Suhakam bukan agensi penguatkuasa serta tidak diperuntuk dengan kuasa penguatkuasaan namun dalam melaksanakan fungsi dan kuasanya, Suhakam sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan lain dalam hal berkaitan hak asasi manusia,” katanya.  

Kulasegaran juga memaklumkan elaun anggota Suhakam akan ditentukan oleh Perdana Menteri dan diberi atas asas bertugas secara separuh masa.

"Ketika ini Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dalam proses menyediakan rangka elaun baharu untuk anggota Suhakam bagi dipertimbang oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya. 

Mengenai rang undang-undang Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah pula, Kulasegaran berkata ia bertujuan menambah baik peruntukan Akta Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah 2002 (Akta 621) bagi memberikan bantuan bersama dalam perkara jenayah antara Malaysia dengan negara lain.

Beliau berkata rang undang-undang itu turut memperuntuk prosedur penerimaan sebagai keterangan di Mahkamah di bawah Seksyen 90F Akta Keterangan 1950 bagi menyelesaikan masalah memperoleh dokumen bagi kes domestik seperti transaksi kewangan di luar negara.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Lebuh Raya Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2023 berkata ia bertujuan menyelaras, memperkemas serta memperkukuh fungsi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengikut perkembangan dan keperluan terkini selain memberi kuasa kepada LLM untuk menjana pendapatan.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. - BERNAMA