Mohd Roslan bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pakej Pelancongan Sarawak Delta Geopark dan Gawai 2024 di Hotel Roxy Impian hari ini. -Gambar Chimon Upon

KUCHING:  Bilangan pelancong yang melawat Malaysia tahun ini dijangka akan meningkat berbanding pada 2023.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Mohd Roslan Abdullah berkata, ia susulan lebih banyak akses penerbangan dan pengenalan produk pelancongan khusus.

“Produk khusus itu menyasarkan pelancong berkualiti iaitu mereka yang boleh membelanjakan lebih banyak wang ketika melawat negara ini.

“Malah, dengan pengenalan laluan penerbangan baharu termasuk Sichuan Airlines dan China Southern Airlines yang membuat ketibaan sulung di Kuala Lumpur dari Chengdu dan Szenzhen masing-masing pada 1 Mac dan 1 April lalu, kita yakin kedatangan pelancong ke Malaysia tahun ini melebihi daripada 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Pakej Pelancongan Sarawak Delta Geopark dan Gawai 2024 di Hotel Roxy Impian  di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Roslan dalam ucapannya berkata Malaysia mencatatkan jumlah ketibaan pelancong asing sebanyak 20.14 juta pada 2023 dengan sumbangan pendapatan pelancongan mencecah RM71.3 bilion.

“Daripada jumlah ini, Sarawak telah merekodkan ketibaan 3.92 juta pelancong berbanding 2.02 juta pelancong pada 2022. 

“Itu adalah peningkatan sebanyak 93.28 peratus dengan jumlah perbelanjaan pelancong yang dicapai mencecah RM9.99 bilion,” katanya.

Justeru, beliau berharap tawaran Pakej Pelancongan Sarawak Delta Geopark dan Gawai 2024 itu mampu meningkatkan kedatangan pelancong ke negara ini bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.