Anwar (empat kiri) menyerahkan sumbangan kepada penerima pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2024 di Masjid Al-Muttaqin, di Kota Samarahan, semalam. Turut kelihatan, Abang Johari (kiri) dan Fadillah. - Gambar Chimon Upon

KOTA SAMARAHAN: Sarawak menjadi negeri pertama yang menerima tawaran daripada kerajaan Pusat untuk membiayai kos projek persekutuan terlebih dahulu agar ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek pertama di bawah persetujuan itu ialah pembinaan Pusat Kanser Sarawak.

Menurutnya, persetujuan terbabit melakar sejarah Sarawak apabila ia merupakan kali pertama berlaku di Malaysia sekali gus membolehkan kerajaan Pusat menyerahkan banyak tanggungjawab terlebih dahulu untuk disempurnakan oleh kerajaan negeri.

"Saya setuju dan kita bawa kaedah baharu di mana Sarawak boleh membiayai pembiayaan dahulu dan kita di kerajaan Persekutuan akan tampung kemudian.

"Maka, saya kata kita akan memulakan pembinaan dan pembangunan hospital atau institut kanser di Samarahan dengan segera mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2024 di Masjid Al-Muttaqin, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu bahawa berbanding kaedah pelaksanaan sebelum ini, ia mengambil masa selain kos yang agak tinggi.

"Tidak mengapa, kita akan bantu beberapa rencana dan memulakan projek yang dipersetujui bersama-sama kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Sekiranya kerajaan negeri berupaya hendak memulakan sesuatu projek, ia akan menelan kos yang lebih rendah dan pelaksanaannya cepat," jelasnya.

Terdahulu, Anwar memberitahu bahawa Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut mengangkat isu pendidikan dan kesihatan pada satu mesyuarat yang berlangsung di Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak, pada Sabtu.

Katanya, Abang Johari memberitahu Kerajaan Sarawak bersedia untuk membiayai terlebih dahulu projek-projek Kerajaan Persekutuan agar ia dapat dilaksanakan dan siap dengan segera.

"Projek bukan calang-calang di bawah kaedah itu iaitu sekolah hendak dibina, bina klinik di kawasan pedalaman dan kalau kita tengok kos menggunakan kaedah biasa, ia agak mahal dan dan mengambil sedikit masa," jelasnya lagi.

Berhubung penubuhan pusat kanser itu, Anwar menjelaskan bahawa Abang Johari menyatakan rasa terkesan dengan masalah kanser yang berlaku di Sarawak.

"Premier sangar terkesan dengan masalah kanser di mana kos merawat agak tinggi dan ada yang terpaksa ke Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

"Jadi beliau (Abang Johari) menekankan keperluan ini sudah sekian lama. Namun, negara ada masalah teknikal dan kewangan yang dihadapi," tambah Menteri Kewangan l itu.

Dalam majlis yang sama, Anwar menyampaikan sumbangan kepada 150 asnaf dari bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

Hadir sama, Abang Johari, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, menteri-menteri Persekutuan dan negeri dan tetamu yang lain.