HAJIJI


KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan projek Kereta Api Trans Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan Indonesia akan memberikan impak baik kepada Wilayah Borneo.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sekiranya perkara itu direalisasikan, ia akan memberikan impak positif dalam memperkasakan hubungan atau rangkaian diantara masyarakat dan ekonomi.

"Ia sudah pasti akan memperkasakan pembangunan industri, perdagangan khususnya kawasan sempadan, sekali gus meningkatkan lagi sektor pelancongan dalam Wilayah Borneo," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada November tahun lepas, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya telah menerima cadangan peringkat awal mengenai Projek Kereta Api Trans Borneo.

Beliau berkata, cadangan itu adalah pembangunan satu rangkaian besar kereta api yang akan menghubungkan Sarawak, Sabah dan Kalimantan.

Katanya, ia merupakan cadangan Kementerian Pengangkutan dan peruntukan bagi mengkaji lebih terperinci mengenai perkara itu diperingkat awal yang melibatkan laluan di Sarawak-Sabah telah diluluskan kerajaan pusat.

Syarikat berasal dari Brunei, Brunergy Utama Sdn Bhd baru-baru ini mengumumkan akan memulakan projek berkenaan yang akan dibangunkan dalam dua fasa, melibatkan laluan sejauh 1,620 kilometer.

Fasa pertama akan menghubungkan bandar-bandar dari Pantai Barat sehingga Pantai Timur, bermula di Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir Kota Kinabalu, Sabah.

Sementara, pembangunan fasa kedua akan melibatkan Kalimantan Utara dan Timur yang akan menghubungkan utama dengan Samarinda sehinggalah ke Ibu Kota baharu Indonesia, Nusantara.