• Cadangan pembinaan projek rangkaian Kereta Api Trans Borneo oleh Brunergy Utama Sdn Bhd tidak memerlukan pertimbangan Kerajaan Sarawak ketika ini: Premier
Abang Johari bercakap kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai cadangan pembinaan projek Kereta Api Trans Borneo, hari ini.

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata cadangan pembinaan projek rangkaian Kereta Api Trans Borneo oleh Brunergy Utama Sdn Bhd yang berpangkalan di Brunei  tidak memerlukan pertimbangan Kerajaan Sarawak ketika ini.

Ini kerana cadangan pembinaan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi itu adalah projek syarikat swasta yang tidak memerlukan pertimbangan kerajaan ketika ini.

Menurutnya lagi beliau tidak mengetahui cadangan pembinaan rangkaian kereta api berkenaan pada mulanya dan hanya membaca mengenainya daripada (laman sesawang) Brunei Energy.

"Ia nampaknya seperti cadangan sektor swasta yang tidak memerlukan pertimbangan kerajaan ketika ini.

"Jika kita meneruskan projek kereta api, mesti ada perjanjian dengan Malaysia, Indonesia dan Brunei," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rona Warni Aidilfitri X-Travaganza di Juma'ani Pavilion di sini, hari ini.

Bagaimanapun Abang Johari menambah, Unit Perancang Ekonomi Malaysia (EPU) ketika ini sedang menjalankan kajian mengenai cadangan pembinaan rangkaian Kereta Api Trans Borneo.

Menjelas lanjut, beliau berkata EPU akan mengadakan sesi libat urus kerajaan kepada kerajaan (G2G) dengan Indonesia dan Brunei untuk mencapai konsensus membangunkan rangkaian kereta api berkenaan.

Untuk rekod, Brunergy Utama Sdn Bhd dalam laman sesawangnya mengumumkan projek Kereta Api Trans Borneo akan dilaksanakan dalam dua fasa melibatkan laluan sepanjang 1,620 kilometer.

Fasa pertama akan menghubungkan bandar-bandar dari pantai barat ke pantai timur, bermula dari Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah yang merupakan kawasan tumpuan ekonomi.

Laluannya meliputi bandar-bandar seperti Kota Kinabalu, Kimanis/Papar, Beaufort, Sipitang, Lawas, Bangar, Limbang, Bukit Panggal, Miri, Bintulu, Sibu, Sri Aman, Kuching, Sambas Singkawang, Mempawah dan Pontianak.

Manakala, fasa kedua akan melibatkan utara dan timur Kalimantan menghubungkan laluan utama dengan Samarinda serta ibu kota Indonesia yang baharu iaitu Nusantara.

Laluan bagi fasa kedua termasuk Long Seridan, Ba’Kelalan, Long Bawan, Malinau, Tanjung Selor, Tanjung Redeb, Pengadan, Lubuk Tutung, Bontang, Samarinda dan Balikpapan.