Usaha kerajaan berpandukan PCDS 2030 letak Sarawak pada laluan tepat bagi pertumbuhan ekonomi mampan 

Tun Wan Junaidi ditemani isteri Toh Puan Sri Fauziah Mohd Sanusi.

"Saya benar-benar memuji kepimpinan berwawasan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memberi penekanan kepada usaha mewujudkan ekonomi baharu.” 

Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Yang di-Pertua Negeri 

Oleh Patricia Gari

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar optimis Sarawak akan terus makmur dan maju di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata usaha gigih kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) antaranya yang berpandukan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 telah meletakkan Sarawak pada laluan yang tepat bagi pertumbuhan ekonomi mampan dipacu oleh inovasi dan kreativiti.

"Saya benar-benar memuji kepimpinan berwawasan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memberi penekanan kepada usaha mewujudkan ekonomi baharu.

"PCDS 2030 memberi tumpuan kepada tenaga hijau dan boleh diperbaharui yang mampan, inovasi dan teknologi serta ekonomi digital. 

“Semuanya menjurus ke arah merealisasikan wawasan Sarawak untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030," katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2024.

Tun Wan Junaidi berkata pencapaian bersejarah pada 2023 ialah Sarawak telah merekodkan hasil RM13.3 bilion di bawah kepimpinan Abang Johari.

Kejayaan ini membolehkan kerajaan negeri bukan sahaja membiayai program pembangunannya tetapi berkongsi rezeki secara sistematik dengan rakyat di seluruh negeri, katanya.

Malah Sarawak dapat mengagihkan bonus dua bulan kepada penjawat awam Sarawak selain RM600 kepada setiap penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Sarawak, tambahnya. 

"Pemberian ini untuk menunjukkan pentadbiran negeri menghargai sumbangan serta komitmen, keberkesanan, kecekapan dan sokongan tidak berbelah bahagi penjawat awam negeri serta persekutuan membantu kerajaan menjayakan pelbagai programnya yang seterusnya memupuk impak positif kepada ekonomi tempatan," ujarnya.

Wan Junaidi berkata daya tahan ekonomi Sarawak diserlahkan lagi dengan pertumbuhan KDNK 4-5 peratus pada 2023, mencecah RM146 bilion, berbanding pertumbuhan 6.5 peratus berjumlah RM140.1 bilion pada 2022. 

Pertumbuhan ini katanya, mencerminkan keberkesanan dasar dan strategi Kerajaan Sarawak dalam memacu kemajuan ekonomi.

Beliau berkata pada masa sama kerajaan negeri tetap mengutamakan aspek pendidikan serta kepentingan bahasa Inggeris dengan mewujudkan beberapa sekolah menengah antarabangsa.

Kerajaan negeri juga katanya, merancang menyediakan pendidikan tinggi percuma menjelang 2026. 

"Ini menunjukkan satu pendekatan yang berpandangan ke hadapan terhadap pembangunan modal insan. Dengan mengutamakan pendidikan, Kerajaan Sarawak bukan sahaja memupuk pembangunan inklusif tetapi  memastikan setiap individu dilengkapkan untuk menyumbang kepada kepentingan negeri dan rakyat," katanya.

Pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh Kerajaan Sarawak bagi pengambilan perjawatan dalam perkhidmatan awam negeri juga mencerminkan kepimpinan negeri amat menghormati kepelbagaian dan keterangkuman di negeri ini, tambahnya.

Tun Wan Junaidi berkata ia juga menunjukkan kerajaan negeri tahu akan pulangan ekonomi, sosial dan politik pendidikan Cina kepada Sarawak dan rakyatnya.

"Di Sarawak, penerimaan kepelbagaian budaya dan agama adalah bersifat semula jadi. Ia berfungsi sebagai kekuatan penyatuan yang mengikat masyarakat bersama. 

"Komitmen untuk berkongsi dan menikmati kepelbagaian perayaan ini telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni, mempamerkan perpaduan dalam kepelbagaian yang telah menjadi ciri khas Sarawak. 

"Saya percaya kita telah menjadi satu keluarga besar yang sentiasa menjaga kepentingan, kebajikan dan keperluan antara satu sama lain, menggariskan rasa tanggungjawab bersama yang meresap di setiap peringkat masyarakat di negeri ini," kataya.

Tun Wan Junaidi dalam perutusan beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada (bekas) Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah atas pelantikannya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang kelapan baru-baru ini.

"Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-17 baru-baru ini.

"Saya amat berterima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri terdahulu Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud atas sumbangan besarnya telah memainkan peranan penting dalam pembangunan holistik Sarawak.

"Sebagai Bapa Sarawak Moden yang dihormati, saya menghargai pengorbanan yang beliau lakukan sejak beliau menyertai Kabinet Sarawak pada 1963 sehingga beliau dengan berbesar hati menyerahkan baton kepada Pehin Sri Adenan Satem pada 2014," katanya.