KUCHING: Rundingan Sarawak bersama pihak berkuasa persekutuan mengenai syarikat penerbangan sendiri dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, malahan Sarawak dijangka mempunyai syarikat penerbangan sendiri dalam tahun ini.

“Saya berharap kita dapat memuktamadkan rundingan dengan pihak berkuasa persekutuan tidak lama lagi dan menguasai syarikat penerbangan itu dalam tahun ini, Insya-Allah.

“Kita bercita-cita untuk mempunyai syarikat penerbangan untuk berkhidmat bukan sahaja di kawasan luar bandar kita tetapi juga untuk menyediakan sambungan ke destinasi terpilih di rantau Asia. 

“Kita perlu melabur dalam mewujudkan hubungan udara antara Sarawak dan seluruh wilayah bukan sahaja untuk membawa masuk pelancong tetapi juga untuk memudahkan perjalanan udara bagi meningkatkan perniagaan dan pelaburan di Sarawak,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina semalam.

Jelas beliau, Sarawak terletak di sebuah pulau dan satu-satunya cara untuk membawa orang ramai masuk adalah dengan menerbangkan mereka masuk. 

Beliau berkata mempunyai syarikat penerbangan sendiri antara tiga perkara yang diharap dapat dicapai untuk Sarawak pada 2024.

Antara perkara lain ujar beliau, adalah pengambilalihan semula Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan persekutuan selepas 43 tahun penubuhannya.

“Ini bukan sahaja kerana ia sepatutnya berada di bawah kuasa Sarawak mengikut perlembagaan tetapi juga kerana Sarawak perlu merancang secara komprehensif pembangunan pelabuhannya yang merangkumi seluruh Sarawak termasuk kawasan pedalaman yang kaya dengan sumber.

“Ini sama seperti mengambil semula Empangan Hidro Bakun daripada pihak berkuasa persekutuan untuk membolehkan kita mengawal kuasa menentukan tarif kuasa kita sendiri bagi menarik pelaburan dalam industri intensif tenaga di Sarawak, terutama di Zon Perindustrian Samalaju dekat Bintulu,” tegasnya.

Abang Johari berkata, antara perkara ketiga yang diharap dicapai Sarawak adalah untuk mempunyai kepentingan utama dalam sebuah bank perdagangan bagi menyediakan Sarawak platform kewangan untuk meningkatkan lagi ekonomi melalui pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan keusahawanan.

“Sarawak sudah mempunyai beberapa kepentingan dalam bank ini dan kami mahu meningkatkan kepentingan kami. 

“Saya yakin kita boleh memuktamadkan rundingan itu tidak lama lagi supaya kita boleh mengambil bahagian secara aktif dalam perjalanan bank dan dapat melayani kepentingan Sarawak dengan baik.
 
“Ini adalah tiga platform strategik yang perlu dimiliki oleh Sarawak untuk mewujudkan ekosistem untuk meningkatkan ekonomi Sarawak ke peringkat seterusnya,” katanya.

Tambah beliau, kekuatan Sarawak terletak pada kekayaan sumber aslinya yang merangkumi air dan cahaya matahari dan Sarawak telah memanfaatkan kira-kira 3.5 gigawatt potensi hidro dengan potensi keseluruhan 20 gigawatt.

“Untuk masa depan, kami ingin mengubah cara menghasilkan kuasa hidro dengan menggunakan tenaga daripada air yang mengalir dan bukannya mencipta takungan air yang besar yang pastinya akan membanjiri kawasan yang luas. 

“Kita uga ingin memanfaatkan secara besar-besaran potensi tenaga suria terutama menggunakan panel solar terapung di takungan empangan hidro kita,” katan Abang Johari.