Anggota polis mengacukan senapang ke arah penunjuk perasaan semasa protes untuk menggesa perdana menteri meletak jawatan di Port-au-Prince kelmarin. — Gambar AFP

PORT-AU-PRINCE: Penunjuk perasaan yang marah berhimpun di ibu kota Haiti kelmarin, menuntut pemergian Perdana Menteri Ariel Henry selepas beliau gagal berundur sejajar dengan perjanjian politik yang ditandatangani pada 2022.

Haiti telah dicengkam kemelut sejak Isnin, dengan beribu-ribu orang menyertai tunjuk perasaan di Port-au-Prince dan di seluruh negara.

“Rabu ini adalah harinya. Ia hari Ariel Henry mesti meninggalkan pejabat,” kata seorang pemandu teksi motosikal yang sedang berhimpun di ibu kota, meminta namanya dirahsiakan.

“Saya harap dia akan mendengar permintaan. Jika tidak, suara rakyat akan didengari,” tambah penunjuk perasaan itu.

Media tempatan melaporkan beberapa demonstrasi telah bertukar menjadi ganas apabila penunjuk perasaan bertempur dengan polis dan sekurang-kurangnya dua orang maut ditembak dalam pergolakan itu.

Menurut perjanjian yang dibuat pada Disember 2022 berikutan pembunuhan Presiden Haiti Jovenel Moise setahun sebelumnya, Henry sepatutnya mengadakan pilihan raya dan kemudian menyerahkan kuasa kepada pegawai yang dipilih pada 7 Februari 2024.

Tetapi Henry kekal berkuasa, dengan seorang pembantu berkata perdana menteri itu berhasrat untuk membentuk kerajaan perpaduan nasional.

Negara termiskin di hemisfera Barat, Haiti bergolak selama bertahun-tahun, dengan kumpulan bersenjata menguasai sebahagian negara dan melakukan keganasan, menyebabkan ekonomi dan sistem kesihatan awam kucar-kacir.

Pembunuhan Moise pada 2021 menjerumuskan negara ke dalam huru-hara. Tiada pilihan raya telah dilaksanakan sejak 2016 dan jawatan presiden kekal kosong.

Seorang lagi penunjuk perasaan, yang berusia 40 tahun dan kini menganggur, juga enggan memberikan namanya, berkata Henry “belum memberikan sebarang penyelesaian kepada masalah kami.”

“Negara menjadi tebusan oleh kumpulan samseng. Kami tidak boleh makan. Kami tidak boleh menghantar anak kami ke sekolah. Kami tidak boleh tahan lagi,” tambahnya. — AFP