Antara wanita warga asing yang berjaya ditahan polis dalam Op Noda yang melibatkan pelacuran dan warga asing di Jalan Pasar Baharu Pudu malam tadi.-Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis menahan seramai 229 lelaki dan 34 wanita dalam Op Noda di sebuah bangunan hotel yang tidak lagi beroperasi dan ditinggalkan di Jalan Pasar Baharu, Pudu, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20-an hingga ke 40-an dan mereka terdiri daripada rakyat China, Nepal, Pakistan, India, Vietnam, Thailand dan Indonesia selain warga tempatan.

Bercakap dalam sidang media Op Noda, beliau berkata daripada 34 wanita yang ditahan itu, 20 adalah pelacur manakala selebihnya adalah warga asing yang menyewa bilik di hotel berkenaan.

“Bangunan berkenaan kebanyakannya disewa oleh pendatang dan terdapat aktiviti persundalan dijalankan di premis itu.

Modus operandi mereka adalah pelacur-pelacur ini akan mencari pelanggan di lobi hotel sebelum dibawa ke tingkat atas dan mengenakan bayaran sekitar RM50 hingga RM100,” katanya. 

Selain itu, Allaudeen berkata polis juga menahan seramai 14 kanak-kanak yang merupakan pendatang asing dan mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi.

“Sekiranya mereka memiliki dokumentasi mereka akan dilepaskan kembali,” katanya.

Beliau berkata warga-warga asing ini akan menjalani saringan air kencing bagi menentukan sama ada mereka ini terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya mereka juga disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)( c ) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Sementara itu, mengulas mengenai Op Selamat 21, Allaudeen berkata pihaknya telah mengenal pasti 50 lokasi yang kerap berlaku kemalangan di sekitar ibu kota.

“Oleh itu, saya minta pengguna jalan raya agar berhati-hati pulang ke kampung dan memandu dengan selamat,” katanya.- BERNAMA