MIRI: Dua individu termasuk seorang wanita masing-masing didenda RM800 dan RM900 atau dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan memiliki beberapa nombor loteri haram.
    
Freneilla Bangai, 20, dari Jalan Teo Chew di sini dan Sia Der Shyang, 22, dari Petaling Jaya, Selangor, telah didakwa mengikut Seksyen  9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dihukum di bawah seksyen yang sama.
    
Mengikut kesalahan ini, mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, kedua-dua tertuduh masing-masing didapati ada memiliki sekeping kertas yang mengandungi beberapa catatan nombor ekor yang merupakan nombor loteri awam haram.
    
Freneilla didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.30 petang, 7 Februari lalu di sebuah premis tidak bernombor di Jalan Kampung Lusut di sini. 

Manakala Sia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.20 petang hari sama di sebuah kedai di Jalan Boulevard 2B Pusat Komersil Boulevard di sini.

Setelah mendengar pengakuan salah dan rayuan kedua-dua tertuduh, mahkamah kemudian menggenakan denda RM800 atau dua minggu penjara ke atas Freneilla, manakala Sia didenda RM900 atau dua minggu penjara.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain di hadapan Majistret Randu Rangen, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.