Dr Sim (tengah) dan isterinya Datin Amar Enn Ong Siok Ean (dua kiri) bersama Shankar (dua kanan) dan Russell (kiri) semasa berada di lobi Kompleks Mahkamah Kuching semalam.

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa catatan Facebook Pengerusi Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berhubung bantuan makanan COVID-19 pada 2020 memberikan kesan buruk terhadap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian sebagai ahli politik dan doktor.

Dr Sim ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan kes saman sivilnya dengan Chong semalam berkata, selepas defendan (Chong) mengeluarkan kenyataan di Facebook yang menyatakan beliau gagal menguruskan bantuan makanan COVID-19, beliau bukan lagi bendahari Asia Pacific Society of Cardiology.

Ia katanya, merupakan jawatan yang telah disandang beliau selama 10 tahun yang dipilih melalui pelantikan.

“Selain itu, selepas dua catatan Facebook itu, timbul pertanyaan oleh rakan-rakan sesama profesion serta rakan-rakan politik yang menyoal bagaimana hal ini boleh berlaku, selain menyatakan ia bukan watak Dr Sim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas bersama peguam defendan Michael Kong, selepas Kong menyatakan catatan Facebook defendan tidak mempunyai kesan buruk terhadap kerjaya beliau sebagai ahli politik dan doktor.

Kong (kanan) bersama Siew Chiang selesap prosiding semalam.

Kong turut menyoal sekiranya Dr Sim berusaha untuk mendapatkan jawatan bendahari tersebut menerusi pemilihan semula. 

“Rakan-rakan saya mencadangkan bahawa berikutan ia adalah kes salah urus kewangan, maka saya tidak mengemukakan diri saya untuk (mendapatkan kembali) jawatan bendahari menerusi pemilihan semula,” katanya.

Prosiding semalam menyaksikan pihak plaintif yang diwakili peguam Shankar Ram menutup kesnya.

Sementara Kong memaklumkan mahkamah bahawa pihak defendan akan memanggil lima orang saksi termasuk dirinya sendiri (Kong), penterjemah, wartawan dan defendan (Chong) untuk memberikan keterangan dalam kes ini.

Kes yang didengar di hadapan Hakim Dato Dr Alwi Abdul Wahab itu bakal diteruskan pada 21 hingga 22 Mac 2024.

Pada tahun 2020, Dr Sim yang juga presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menerusi peguamnya memfailkan saman fitnah terhadap Chong Chieng Jen kerana mendakwanya gagal mengurus bantuan makanan dikhususkan untuk empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beberapa pemimpin DAP Sarawak termasuk Chong dikatakan memfitnah Dr Sim menerusi surat khabar kerana gagal menguruskan bantuan membabitkan peruntukan bernilai RM800,000 bagi kawasan DUN Padungan, Batu Lintang, Pending dan Kota Sentosa.

Selain Kong, defendan turut diwakili Chong Siew Chiang dan Brenda Chong sementara plaintif diwakili Russell Lim dan Yu Ying Ying.