Gambar fail bertarikh 3 November 2019 ini menunjukkan Bottas (kanan) dan Hamilton bergambar selepas menamatkan perlumbaan Formula 1 Grand Prix Amerika Syarikat. — Gambar AFP

LONDON: Bekas rakan sepasukan Lewis Hamilton di Mercedes, Valtteri Bottas berkata dia menjangkakan juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1) itu merupakan pemandu yang sesuai untuk Ferrari apabila pemandu dari Britain itu berpindah ke pasukan F1 dari Itali itu pada tahun hadapan.

Perpindahan itu diumumkan minggu lepas setelah Hamilton, 39, mengaktifkan klausa pelepasan dalam kontrak baharunya dan menyertai antara pasukan paling berjaya dalam sejarah dan juga paling glamour dalam satu perjanjian yang bermula dari 2025.

“Saya tidak pernah memikirkan ia akan berlaku,” kata Bottas pada majlis pelancaran kereta baharu pasukan Sauber F1.

“Saya fikir dia akan terus kekal di Mercedes, tetapi itulah Formula Satu. Semua ini berlaku, dan saya fikir ia adalah bagus untuk dia kerana dia sememangnya membuat satu keputusan dan ia adalah satu permulaan baharu.

“Ia satu perpindahan besar dalam F1, yang akan mewujudkan beberapa pertukaran pemandu untuk pasukan lain.”

Hamilton akan menyertai Charles Leclerc, yang mempunyai kontrak jangka panjang, di Ferrari - sebuah pasukan yang kali terakhir memenangi kejuaraan kategori pengeluar pada 2008.

Beberapa juara dunia, Sebastian Vettel dan Fernando Alonso pernah mencuba dan gagal untuk memenangi kejuarana di Ferrari, sejak Kimi Raikkonen muncul juara dunia kategori pemandu yang terakhir Ferrari pada 2007.

Hamilton adalah pemandu paling berjaya sepanjang zaman, dengan rekod 103 kemenangan, dan Bottas berkata dia menjangkakan Hamilton akan serasi dengan baik dengan pasukan kini dipimpin oleh Fred Vasseur - yang pernah bekerja dengan Hamilton dalam karier remajanya.

“Saya fikir dia akan dapat menyesuaikan diri. Dia mempunyai begitu banyak pengalaman dalam sukan ini. Dia berdepan dengan begitu ramai orang sebelum ini dalam sukan F1, saya fikir tiada masalah untuknya,” kata Bottas.

“Saya pasti ia akan menjadi satu projek yang menarik untuk dia cuba dan mengembalikan semula kegemilangan Ferrari.

Masa depan Bottas sentiasa masih menjadi persoalan, dengan pemandu berusia 34 tahun itu akan mengharungi musim ke-12 dalam sukan F1. 

Dia dan Hamilton adalah rakan sepasukan di Mercedes dari 2017 hingga 2021, satu tempoh yang bersamaan dengan penguasaan sepenuhnya untuk pasukan Mercedes. — AFP