KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengajak seluruh rakyat Sarawak terus memberi sokongan teguh kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Katanya sokongan dan kerjasama yang teguh daripada rakyat Sarawak amat diperlukan Premier ketika Sarawak memulakan perjalanan yang mencabar dalam mencapai objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. 

Di bawah strategi ini katanya, Sarawak menyasarkan untuk menjadi wilayah maju menjelang tahun 2030. 

“Sempena Tahun Baharu Cina ini, marilah kita memperbaharui komitmen untuk membina Sarawak yang lebih inklusif, makmur, bersatu padu dan berdaya tahan. 

“Marilah kita bekerjasama dengan semangat yang diperbaharui untuk menjadikan Sarawak sebagai mercu tanda keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kemajuan,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2024. 

Uggah turut berharap tahun baharu ini akan memberi kesihatan, kebahagiaan, perpaduan dan kemakmuran kepada semua rakyat. 

Beliau dan keluarga katanya, turut mengucapkan salam yang tulus kepada semua yang meraikan perayaan Tahun Baharu Cina. 

“Di Sarawak, kepelbagaian kita adalah kekuatan kita. Meskipun Tahun Baharu Cina adalah budaya Cina namun ia adalah perayaan untuk semua rakyat Sarawak. 

“Semasa kita melangkah ke Tahun Naga, marilah kita mendapat inspirasi daripada kekuatan, keyakinan, kepintaran dan keabadiannya,” katanya.