ALBUM: Arifin bersama Ibrahim merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian yang hadir pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di Pekan Baru Membakut.



MEMBAKUT: Pesta Tanglung akan dijadikan sebagai salah satu acara tahunan di Membakut, kata Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif.


Mengulas lanjut, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, beliau akan menyediakan sejumlah peruntukan kepada jawatankuasa terlibat untuk membantu menganjurkan pesta berkenaan.


Sempena dengan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di Membakut, pelbagai acara menarik diadakan antaranya, persembahan Tadika Pei You dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Pei Yin dan Tarian Singa dan Naga serta pertunjukan bunga api.


Festival Tanglung yang julung kali diadakan di Membakut juga merupakan sebahagian acara yang diadakan pada malam tadi yang disempurnakan oleh Arifin.


"Ini adalah festival yang julung-julung kali diadakan di sini, yang menghiasi perkarangan kedai dengan tanglung-tanglung bercahaya yang penuh meriah. Tahniah saya ucapkan kepada JKDB dan kapitan serta pemimpin masyarakat cina kerana telah merealisasikan dengan jayanya, " katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2024 di Pekan Baru Membakut, pada malam Khamis.


Turut hadir Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki.

 UCAPAN: Arifin ketika menyampaikan ucapannya pada majlis itu.


Dalam pada itu, Arifin menggesa masyarakat supaya terus mengekal kesatuan khususnya di daerah itu bagi memelihara perpaduan yang sekian lama terjalin dan mengambil kesempatan sempena perayaan untuk mengeratkan silaturahim.


Jelas beliau, dengan adanya keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama semua masyarakat dapat merayakan perayaan dengan lebih bermakna sekaligus menjamin kemakmuran Sabah.


"Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada semua rakyat yang meraikannya dan berharap majlis yang kita adakan malam ini dapat mengeratkan silaturahim sesama kita demi perpaduan dalam kalangan masyarakat di Membakut, " katanya.