Kevin menyampaikan sijil dan hadiah kepada salah seorang murid cemerlang pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina SJKC Ung Nang di Sibu, semalam.

SIBU: Murid-murid digesa agar memanfaatkan cuti sekolah dengan bijak dengan mempertingkatkan pengetahuan dalam apa jua kemahiran yang ingin dipelajari.

Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ung Nang Kaunselor Kevin Lau turut menggesa mereka supaya tidak bermain gajet secara berlebihan.

"Anda akan bercuti selama sebulan sehingga 10 Mac.

"Selepas itu anda akan memulakan tahun akademik baharu pada 11 Mac dan anda juga akan memulakan perjalanan pembelajaran yang berbeza.

"Saya harap anda akan mengambil peluang ini untuk belajar dan sila gunakan peranti elektronik anda dengan bijak dan tidak terlalu ketagih," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ung Nang di sini, semalam.

Menurutnya, musim bunga mewakili kehidupan, pertumbuhan berterusan dan pembaharuan semua benda hidup yang juga mewakili harapan.

"Begitu juga, anda semua mewakili harapan untuk negara kita dan masa depan masyarakat," ujarnya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada guru yang telah bertungkus-lumus mengajar dan mengasuh murid terutama pada masa yang mencabar ini.

Turut hadir ialah Guru Besar Hii Mee Yien.