MESYUARAT: Hajiji sempat berbual dengan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Seri Dr. Sabin Samitah selepas mesyuarat itu.

KOTA KINABALU: Kabinet negeri meluluskan Polisi Industri Biojisim Kelapa Sawit Negeri Sabah dalam mesyuarat pasca-kabinet Jabatan Ketua Menteri di sini semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, kabinet turut memutuskan untuk mengenakan Cukai Jualan Negeri ke atas eksport biojisim kelapa sawit keluar dari Sabah sehingga dasar berkenaan dilaksanakan.

"Ini bertujuan mengawal eksport biojisim kelapa sawit dan Enakmen Biojisim (Biomass) Kelapa Sawit Negeri Sabah akan disediakan untuk mengawal selia industri biojisim kelapa sawit di Sabah," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan dasar itu akan bermula dalam tempoh dua tahun dari tarikh ia diluluskan iaitu selepas Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) 'Sabah Biomass Collection Platform' beroperasi sepenuhnya.

Beliau berkata, perkara itu akan dipantau oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan.

Dalam pada itu Hajiji berkata, ketua-ketua jabatan di bawah Jabatan Ketua Menteri bahawa Jemaah Menteri negeri mengambil maklum mengenai tindakan penambahbaikan pengurusan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.