Ding menyampikan sijil dan hadiah kepada salah seorang pelajar cemerlang pada Majlis Apresiasi Anugerah dan Kecemerlangan 2023/2024 SJKC Kai Sing semalam.

BINTANGOR: Guru yang beriltizam menyempurnakan majlis kecemerlangan, penyampaian sijil dan hadiah bagi para pelajarnya sebagai tanda sokongan, galakan dan penghargaan atas segala usaha mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penganjuran majlis anugerah ini juga mampu menjadi pembakar semangat untuk merealisasikan kecemerlangan dalam bidang pendidikan di sesebuah sekolah.

"Kita ingin mengingatkan kepada para pelajar perlu memainkan peranan bagi kesinambungan pembelajaran di sekolah dan jika pelajar terleka dan alpa, kita bimbang proses pembelajaran akan terbantut dan tersekat ketika golongan ini berada di luar dari kawasan sekolah.

"Majlis graduasi yang dianjurkan pada majlis ini adalah bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang yang telah ditunjukkan pelajar di sekolah ini sama ada dalam bidang kurikulum, kokurikulum mahupun sahsiah diri.

"Kita percaya kejayaan pelajar-pelajar pada hari ini bukan sahaja disebabkan hasil pencapaian mereka terhadap pelajaran yang diajar, malah termasuk kerja keras yang diusahakan mereka selama ini dengan dibantu warga guru di sekolah serta ibu bapa yang tidak jemu-jemu berusaha ke arah pencapaian maksimum anak-anak," kata Ding.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Anugerah dan Kecemerlangan 2023/2024 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kai Sing dekat sini, semalam.

Menurut Ding, kejayaan para pelajar secara keseluruhannya adalah hasil daripada usaha bersama dan kerja berpasukan oleh semua pihak.

Kata Ding, beliau ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua tenaga pengajar yang telah menunjukkan komitmen bagi memastikan tranformasi pendidikan berjalan lancar.

"Kita yakin pihak sekolah akan terus berusaha tanpa jemu untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar kita ke tahap yang lebih baik dan cemerlang, bukan sahaja dalam aspek kurikulum bahkan aktiviti kokurikulum di peringkat sekola, daerah dan seterusnya yang lebih tinggi. 

"Teruskan usaha yang baik ini dan kita pasti ada ganjaran yang baik juga akan datang kepada semua pihak atas komitmen ini," jelas Ding. 

Beliau seterusnya menyumbang geran MRP berjumlah RM5,000 kepada SJKC Kai Sing.

Turut hadir ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Daerah Meradong Timot Usop, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Rinda Juliza Alexander dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Leong King Yung.