• Kini ekosistem telah berubah, bermakna terdapat undang-undang yang juga perlu diubah
Abang Johari melakukan simbolik perasmian Hari Perkhidmatan Awam Sarawak di BCCK semalam. Turut kelihatan Nadzri (kanan), Abu Bakar (lima kiri) serta yang lain. - Gambar UKAS

Oleh Jessica Jawing

KUCHING: Sarawak perlu mengemas kini perundangan yang lapuk termasuk undang-undang siber agar ia terus relevan dan mengikut perubahan masa, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya kini ekosistem telah berubah,  bermakna terdapat undang-undang yang juga perlu diubah dan Sarawak tidak boleh mempunyai perundangan yang lapuk.
 
“Umpamanya, undang-undang siber. Kita mesti memahami bahawa undang-undang siber yang ada ini kerana sekarang banyak jenayah dalam ruang siber.

“Scam (kes penipuan) banyak laporan mengenai kehilangan duit mereka kerana scam dan ini adalah jenayah baharu. Selain itu kadang-kadang ada juga kes pemerdagangan manusia di mana ramai anak-anak kita ditipu di Kemboja, Myanmar, Peru dan di tempat lain.

“Maknanya, undang-undang hendaklah relevan dan kita (penjawat awam) khasnya perlu mengetahui undang-undang ini supaya kita dapat kaedah mengenal pasti pesalah berkaitan dan kita mesti tahu sebelum ia berlaku. Ini adalah undang-undang siber,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 yang dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, perkhidmatan awam memainkan peranan penting dalam memahami dan mengetahui undang-undang yang ada dalam usaha mereka menyampaikan perkhidmatan bukan sahaja cekap tetapi berpengetahuan.

Katanya baru-baru ini, Sarawak telah memperkenalkan undang-undang baharu iaitu mengenai pengagihan dan pengurusan gas, di mana penjawat awam mesti arif mengenai undang-undang yang diwujudkan itu.

“Ekosistem berubah, undang-undang juga berubah dan kita mesti mengetahui penggunaan perundangan baharu itu.

“Kita mahu supaya perkhidmatan awam memahami undang-undang yang telah kita wujudkan, ini disebabkan ia adalah perkara baharu dalam landskap ekonomi dunia, di mana Sarawak mempunyai kekuatan.

“Sarawak mesti mempunyai undang-undang tertentu yang membolehkan kita memain peranan dalam ekonomi baharu ini,” ujarnya.

Mengenai perkara lain, Abang Johari berkata pada masa yang sama kerajaan turut menumpukan untuk memperkasakan lagi gaya hidup yang sihat dalam kalangan rakyatnya menerusi perspektif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Ujarnya, kerajaan negeri tidak hanya menumpukan kepada pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) tetapi mempertimbangkan untuk memperkasakan SDG yang juga dilihat penting dari segi kualiti hidup untuk sesebuah negara.

Maka itu kata beliau, kerajaan negeri menumpukan peruntukan kepada pembangunan luar bandar termasuk bekalan elektrik, bekalan air, jalan raya dan pembangunan ekonomi kampung termasuk sektor pertanian moden.