Abang Johari mengesahkan Tun Taib berada dalam keadaan baik ketika ditemui pemberita hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kini berada dalam keadaan baik dan masih menerima rawatan di kediamannya di Demak Jaya di sini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, malahan beliau dimaklumkan terdapat doktor dan jururawat daripada Pusat Perubatan Pakar Normah yang memberikan rawatan kepada Tun Taib.

“Beliau (Tun Taib) masih menerima rawatan di kediamannya dan ada jururawat serta doktor dari Normah.

“Saya belum menerima laporan terkini keadaan kesihatannya tetapi beliau dalam keadaan baik. Beliau memang sakit tetapi keadaan masih baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau telah melawat Tun Taib, Abang Johari berkata sehingga kini beliau belum melawat bekas Ketua Menteri itu.

“Saya belum berjumpa (lawat). Kerana beliau masih lagi dalam rawatan,” ujarnya.

Sementara itu pada hari ini juga, polis Sarawak turut mengesahkan Tun Taib berada di kediaman peribadinya di Demak Jaya, Petra Jaya di sini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata bekas Yang di-Pertua Negeri terbabit berada dalam keadaan selamat dan tidak dibawa meninggalkan negeri ini.

Pengesahan itu susulan laporan polis yang dibuat terhadap isteri Tun Taib, Toh Puan Ragad Kurdi Taib kerana membawanya keluar dari hospital swasta di sini pada jam 11.56 malam Sabtu lalu.

Mancha berkata setakat ini, lapan laporan polis telah diterima termasuk laporan daripada ahli keluarga Tun Taib.

Dua hari lepas, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian Tun Taib dibawa keluar oleh Ragad dari sebuah hospital swasta dan kes disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan yang boleh membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.