Polis terima aduan lelaki itu selepas satu kes penipuan pelaburan dilapor seseorang semalam

MANCHA

SIBU: Seorang ahli perniagaan di sini menjadi mangsa terbaharu pelaburan dalam talian tidak wujud sehingga kerugian lebih RM132,000.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, pihaknya menerima aduan daripada lelaki berusia 60-an itu selepas satu kes penipuan pelaburan dalam talian dilaporkan oleh seseorang semalam.

Katanya, mangsa telah tertarik dengan pelaburan bitcoin menggunakan aplikasi ‘DDEX’ pada September tahun lalu.

"Pada mulanya mangsa telah menerima mesej melalui Messenger yang didaftarkan atas nama Jingyun Shu yang menawarkan pelaburan wang kepada mangsa.

"Mangsa yang berminat untuk menyertai pelaburan wang tersebut kemudian belajar mengenai pelaburan bitcoin daripada individu yang dikenali sebagai 'Smallstawberry' melalui dalam talian," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa dijanjikan mendapat keuntungan selepas tiga  hingga empat jam daripada deposit wang pertama yang dilakukan dalam aplikasi DDEX.

"Sepanjang awal September hingga penghujung November 2023, mangsa telah melakukan sebanyak 22 kali transaksi pembayaran melalui pemindahan wang secara dalam talian ke empat akaun bank yang berbeza melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM132,330.

"Hasil keuntungan daripada pelaburan dibayar menggunakan mata wang dolar Amerika dan mangsa hanya mendapat keuntungan sebanyak RM400," katanya.

Mancha berkata, wang keuntungan tersebut telah dikreditkan ke akaun aplikasi ‘DDEX’ namun wang berkenaan tidak dapat dikeluarkan kerana mangsa perlu membuat pembayaran deposit atau jaminan terlebih dahulu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Jika sabit kesalahan, hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda," jelasnya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihati hanya membuat pelaburan di platform yang betul serta berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).

"Jangan sesekali menekan pautan atau memuat turun aplikasi melalui 'android package kit' (APK) yang tidak diketahui kesahihannya.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat kewangan daripada ejen yang berdaftar sahaja tentang sesuatu pelaburan," tegasnya.

Selain itu katanya, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai pada sesuatu pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh masa yang singkat.

"Jangan sesekali memasukkan wang ke akaun bank yang tiada kaitan dengan pelaburan yang dibuat anda," tegas Mancha.

Hubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika anda merupakan mangsa penipuan siber.

Orang ramai juga boleh membuat semakan nombor telefon dan akaun bank suspek melalui aplikasi check scammers CCID atau melalui laman web http://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan atau layari akaun rasmi media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil@JSJKPDRM dan @CyberCrimeAlertMP melalui Facebook, Instagram dan TikTok untuk mendapatkan maklumat modus operandi terkini penipuan.