PETALING JAYA: Dakwaan bahawa bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dilarikan adalah tidak benar, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (gambar).

Beliau berkata hal ini kerana keberadaan Abdul Taib diketahui ahli keluarga, adik-beradik, peguam dan doktor serta jururawat yang merawat beliau di hospital.

“Pihak polis ada terima laporan media berhubung perkara ini daripada ahli keluarga tetapi bukan daripada CP (Pesuruhajaya Polis Sarawak), Pengarah JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) dan IGP (Ketua Polis Negara).

“Laporan-laporan itu kami ambil dan siasat, namun ia tidak benar seperti yang dilaporkan mengatakan TYT (Tuan Yang Terutama) Abdul Taib diculik atau dilarikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 21 dan Perasmian VSP 2.0 bersempena dengan Tahun Baharu Cina 2024 di Persada PLUS, Subang di sini hari ini.

“Bagaimanapun, dakwaan beliau diculik adalah tidak berasas kerana keberadaan beliau (Abdul Taib) kini di rumah.

“Fakta-fakta yang dilaporkan oleh media mengenai Abdul Taib sebelum ini perlu dibetulkan kembali dan hanya kenyataan rasmi polis boleh dikeluarkan berhubung maklumat kes berkenaan,” katanya dan menambah polis masih menjalankan siasatan kes itu.

Pada Isnin lepas, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dilapor telah menerima laporan tentang kejadian mendakwa Abdul Taib dibawa keluar dari sebuah hospital swasta.

Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan yang boleh membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain. 

Sementara itu, di KUCHING, polis mengesahkan Abdul Taib berada di kediaman peribadi beliau di Sarawak.

Mancha berkata setakat ini, lapan laporan polis berhubung isu membabitkan Abdul Taib diterima termasuk daripada ahli keluarga beliau.

"Kita tidak boleh dedahkan lebih banyak maklumat kerana semua yang berlaku masih dalam siasatan," katanya selepas merasmikan program Advokasi dan Penguatkuasaan Undang-undang Jalan Raya dan Pelancaran Op Selamat 21 Tahun Baharu Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hari ini.- BERNAMA