PENGHARGAAN: Nizam (dua kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Badli Shah.

TAWAU: Isu konflik rumah tangga dalam kalangan masyarakat di negara ini dilihat semakin membimbangkan khususnya bagi pasangan muda ataupun baharu berkahwin.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, konflik rumah tangga ini perlu ditangani dengan segera supaya statistiknya dapat dikurangkan.

Katanya, semua pihak perlu bekerjasama mencari solusi bagi membantu kerajaan menangani isu yang dilihat semakin serius.

“Pasangan muda perlu diberikan didikan dan panduan yang secukupnya supaya mereka boleh mengawal emosi sekiranya berlaku perselisihan dalam rumah tangga.

“Hal ini kerana, konflik ini berlaku bukan dalam kalangan rakyat biasa, tetapi turut melibatkan golongan profesional atau bekerjaya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika memberi ucapan perasmian Seminar Keibubapaan Baiti Jannati 5.0, di sini, baru-baru ini.

TERIMA KASIH: Ahmad (kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Nizam.

Menurutnya, alam perkahwinan adalah proses pembelajaran yang bersifat teori serta realiti dan bukannya lagi sebagai ujikaji dalam kehidupan.

“Kebijaksanaan ketua rumah tangga iaitu suami mengemudi bahtera keluarga sangat perlu bagi memastikan ia tidak karam dilanda badai.

“Justeru, suami dan isteri perlu mendapatkan pendidikan yang lebih mengenai kehidupan alam rumah tangga sama ada berbentuk formal mahupun tidak formal,” katanya.

Nizam berkata, penganjuran seminar keibubapaan ini dilihat sangat bermanfaat untuk diikuti oleh masyarakat di daerah ini terutamanya pasangan muda.

“Seminar ini membuktikan keprihatinan pihak penganjur terhadap tanggungjawab dalam membantu kerajaan melahirkan masyarakat yang berilmu.

“Saya juga sangat bersyukur kerana tokoh-tokoh yang dibawa ke daerah ini sangat terkenal dan mempunyai ilmu mengenai pendidikan rumah tangga dari sudut agama,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat di daerah ini seharusnya bersyukur kerana semua tokoh-tokoh berkenaan sudi datang dari jauh untuk memberikan pendidikan berkenaan alam rumah tangga.

“Saya berharap semua yang hadir dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi dan menyampaikannya kepada keluarga dan rakan-rakan yang tidak dapat datang.

“Saya sebagai wakil rakyat di daerah ini juga akan sentiasa menyokong dan mendokong setiap penganjuran yang memberikan manfaat kepada masyarakat keseluruhannya,” katanya.

SEMINAR: Mohd Kazim ketika menyampaikan ilmu keibubapaan kepada semua peserta.

Sementara itu, Yang Dipertua Aspirasi Dakwah dan Amal Muslim Sabah (ADAM CARE), Ustaz Adam Khaleef Eilyas berkata, pihaknya komited menganjurkan seminar yang berbentuk ilmiah kepada masyarakat di daerah ini.

Katanya, seminar kali ini adalah yang kelima diadakan dengan menjemput pelbagai tokoh-tokoh agama terkenal di Malaysia.

“Penganjuran seminar ini adalah sumbangan ADAM CARE kepada masyarakat Tawau yang selalu memberi sambutan dalam setiap program-program ilmiah ataupun kebajikan yang dilaksanakan.

“Selain itu, ia juga bertujuan mengumpul dana untuk Madrasah Al Ubudiyyah Wal Mas Uliyyah yang saya tubuhkan di daerah ini,” katanya.

Turut hadir, Kaunselor Majlis Perbandaran Tawau (MPT) merangkap Penasihat Program Seminar, Ahmad Dullah.

Terdahulu, seminar berkenaan telah dikendalikan oleh tiga tokoh terkenal iaitu Timbalan Mufti Negeri Pahang Datuk Badli Shah Alauddin, Pendakwah Bebas Datuk Mohd Kazim Elias dan Pendakwah Bebas Ustaz Nabil Ahmad.