TANGKAP: Polis berjaya menahan dan membuat pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki suspek.

TAWAU: Polis berjaya menahan seorang lelaki disyaki terlibat kes ugut dan cederakan pekerja tapak pesta ria (Fun Fair) di Jalan Kuhara, di sini kurang daripada 24 jam selepas waktu kejadian, pada Ahad.

Suspek terbabit ditahan oleh sepasukan polis daripada Balai Polis Tawau menerusi Op Kesan kira-kira jam 10 malam di kawasan Kampung Hidayat Batu 4 Jalan Apas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai salah seorang pekerja pesta ria dicederakan oleh pengunjung yang tidak dikenali.

Katanya, mangsa mulanya hanya menegur suspek supaya mengikuti barisan semasa masuk ke tapak pesta ria berkenaan.

“Bagaimanapun suspek tidak berpuas hati dengan arahan berkenaan dan bertindak agresif sehinggakan  mencederakan muka mangsa.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis menjalankan Op Kesan di kawasan Kampung Hidayat untuk mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, pasukan operasi yang menjalankan tugas di lokasi berkenaan terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan parkir di tepi jalan.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun dipercayai suspek kes cederakan pekerja pesta ria berada di dalam kereta berkenaan,” katanya

RAMPAS: Senjata tajam yang ditemukan di dalam kereta suspek dirampas.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta berkenaan menemukan sebilah parang di bawah kerusi pemandu dan sebatang anak panah lastik (Flying Feather) bersama lastik.

“Turut ditemukan satu paket plastik lutsinar kecil yang berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu bersama peralatan untuk menagih dadah.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Champin berkata, kes itu di siasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita juga sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jika terdapat kes-kes lain yang membabitkan suspek yang sama.

“Polis Daerah Tawau sedang mempergiatkan usaha membanteras kegiatan jenayah dan dadah dari semasa ke semasa dengan operasi yang lebih agresif,” katanya.