Gabriel meletakkan tiara di atas kepala Palacios pada pertandingan akhir Miss Universe 2023 di San Salvador, Sabtu lalu. - Gambar AFP

SAN SALVADOR: Sheynnis Palacios dari Nicaragua dinobatkan sebagai Miss Universe 2023 pada edisi ke-72 pertandingan ratu cantik antarabangsa itu yang diadakan di El Salvador, Sabtu lalu.

Palacios, 23, menerima tiara dan selempang kejuaraan daripada Miss Universe 2022 R'Bonney Gabriel dari Amerika Syarikat (AS).

Ini merupakan kali pertama peserta dari Nicaragua memenangi pertandingan tersebut, manakala jelitawan Thailand Anntonia Porsild mendapat gelaran naib juara dan Moraya Wilson dari Australia merangkul tempat ketiga.

Palacios, yang menganggap sikap rendah diri dan menghargai perkara kecil sebagai kualiti utamanya, mengalahkan 84 peserta lain dalam persaingan seminggu yang turut termasuk bergaya di atas pentas dalam sut mandi, gaun malam dan pakaian tradisional.

Dalam jawapan akhirnya kepada juri, Palacios menekankan kepentingan gaji sama rata tanpa mengira jantina supaya kaum wanita boleh bekerja dalam mana-mana bidang.

"Tiada had bagi kaum wanita," katanya.

Setiap peserta berjalan di atas pentas yang dibina di Gimnasium Nasional Adolfo Pineda di ibu negara San Salvador yang baharu sahaja dinaik taraf.

Penganjur gala tersebut yang turut dihadiri Presiden Nayib Bukele, mengumumkan edisi 2024 akan diadakan di Mexico. - AFP