KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Datuk Abang Openg mencadangkan penubuhan tabung amanah bagi menggantikan keperluan sektor swasta membina projek perumahan yang mana 30 peratus terdiri daripada perumahan kos rendah.
Katanya di bawah undang-undang negeri semasa, sektor swasta wajib memperuntukkan 30 peratus daripada skim perumahan atau projek pembangunan bercampur untuk membina rumah mampu milik, sekiranya tanah yang dibangunkan seluas 10 ekar atau lebih.
"Idea saya adalah daripada membina rumah 30 peratus fizikal, sektor swasta boleh menggantikannya dengan membayar jumlah dana tertentu yang setara dengan nilai 30 peratus skim tersebut dan menyumbangkannya kepada tabung amanah.
"Sektor swasta boleh menyumbang kepada tabung amanah ini dan kerajaan akan menjalankan pembangunan perumahan kos rendah bagi pihak pemaju melalui tabung amanah tersebut.
"Langkah ini bertujuan membolehkan pemaju mereka bentuk skim perumahan mengikut keperluan lokasi tertentu, bukannya terikat dengan peratusan tetap 30 peratus," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Makan Malam Jubli Emas Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Abang Johari turut mencadangkan agar sektor swasta diberikan kebebasan untuk membangunkan pelbagai jenis pembangunan yang mereka kehendaki, termasuk pembangunan bercampur atau perumahan biasa, tanpa perlu membina 30 peratus rumah di atas tanah yang sama.
Menurut beliau, ia disebabkan kos pembinaan rumah dengan kualiti tertentu sangat mahal, terutama di kawasan bandar.
Katanya, kedua-dua perkara yang dicadangkan itu akan dibawa ke Kabinet Sarawak untuk mendapatkan kelulusan terlebih dahulu.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata HDC berjaya memperoleh 38 projek yang dibiayai kerajaan Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), dengan perbelanjaan maksimum berjumlah RM262,797,134.
Projek-projek ini merangkumi pelbagai inisiatif, termasuk 33 projek fizikal yang melibatkan pembinaan 2,961 unit rumah, penambahbaikan infrastruktur, penambahbaikan kemudahan dan kerja-kerja jalan.
Katanya, pada masa ini, projek-projek tersebut sedang bergerak ke hadapan melalui pelbagai peringkat pelaksanaan, katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh timbalannya Datuk Michael Tiang.
Hadir sama adalah isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Pengerusi HDC Abdul Yakub Arbi serta yang lain.