Komoditi minyak sawit, petroleum dan gas merupakan penyumbang utama kepada pendapatan negeri ini

Abang Johari ketika membentangkan cadangan Belanjawan Negeri 2024 pada Persidangan DUN Sarawak hari ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Kutipan hasil Kerajaan Sarawak diunjur RM12.7 bilion pada tahun depan dengan komoditi minyak kelapa sawit, petroleum dan gas merupakan penyumbang utama kepada pendapatan negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ujuran RM12.7 bilion itu adalah hasil tertinggi dicatatkan Sarawak dan mencerminkan komitmen kerajaan negeri mengukuhkan lagi kedudukan fiskalnya.

Beliau berkata komoditi minyak sawit mentah, petroleum dan gas berperanan sebagai penyumbang utama kepada hasil negeri, harganya ditentukan oleh pasaran globl.

Justeru ujarnya, kerajaan negeri memilih untuk berhemat dan akan mengambil pendekatan konservatif dalam menyediakan anggaran hasil 2024. 

"Anggaran hasil negeri diperoleh daripada sumber utama termasuk hasil cukai berjumlah RM5.7 bilion atau 45 peratus daripada jumlah jangkaan hasil pada 2024. 

“Ini terdiri daripada RM4,572 juta daripada Cukai Jualan Negeri, di mana RM3,534 juta daripada minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain; RM850 juta daripada minyak sawit mentah dan minyak isirung sawit mentah; RM80 juta daripada produk aluminium, RM70 juta daripada loteri, RM33 juta daripada produk kayu.

"Manakala baki RM5 juta daripada arang batu; RM600 juta daripada royalti air mentah; RM290 juta daripada royalti hutan, premium kayu dan tarif; dan RM242 juta daripada royalti perlombongan, sewa tanah dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2024 (Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menjelas lanjut Abang Johari berkata, bagi hasil bukan cukai, dianggarkan RM6.39 bilion atau 50 peratus dan kebanyakannya diperoleh daripada pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas (RM2.86 bilion), pendapatan dividen (RM2.16 bilion),  pendapatan faedah (RM698 juta), premium tanah (RM400 juta),  pampasan tunai sebagai ganti duti import dan eksais ke atas produk petroleum (RM120 juta) dan  sumber-sumber lain termasuk lesen, yuran perkhidmatan, permit dan sewa (RM150 juta).

Beliau juga mendedahkan kerajan negeri turut mendapat pembayaran atau penerimaan bukan hasil terutama deposit tidak dituntut, lebihan bayaran diperoleh semula dan pelupusan kenderaan berjumlah RM28 juta. 

“Geran dan pembayaran balik persekutuan dijangka berjumlah RM627 juta.

“Sumbangan hasil sumber ini telah dinaikkan berikutan keputusan kerajaan persekutuan menaikkan kadar Geran Khas sementara untuk Sarawak kepada RM300 juta daripada RM16 juta sebelum ini,” tambahnya.