KUCHING: Dua lelaki warga Indonesia masing-masing dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terlibat aktiviti perjudian dalam talian.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan memerintahkan Roy, 20, dan Suryanto, 27, untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selesai membayar denda ataupun setelah menjalani hukuman.
Kedua-dua pemuda tersebut yang tidak diwakili peguam masing-masing dituduh mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dalam prosiding berasingan semalam.
Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 bagi setiap mesin judi dirampas dan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh masing-masing didakwa mengendalikan sebuah mesin perjudian iaitu sebuah komputer riba semasa berada di sebuah kondominium di Sunny Hill Garden, Batu Kawa di sini pada 8 November 2023 sekitar jam 3.50 petang.
Berdasarkan keterangan kes, sepasukan polis bersama pakar judi melakukan serbuan di premis itu, susulan premis itu dipercayai dijadikan 'calling centre' atau pusat panggilan aktiviti perjudian dalam talian.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa set komputer riba serta beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan untuk aktiviti tersebut, kesemuanya telah diperiksa oleh pakar judi.
Susulan itu, kedua-dua tertuduh ditangkap untuk tindakan selanjutnya.
Hasil siasatan dan analisis pakar judi mendapati kedua-dua tertuduh menjalankan perjudian dalam talian dengan menggunakan komputer riba masing-masing.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.