Abang Johari menunjukkan dokumen cadangan Belanjawan Negeri 2024 untuk dibentangkan pada Persidangan DUN hari ini. -  Gambar Roystein Emmor 

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini membentangkan anggaran Belanjawan Negeri 2024 berjumlah RM12.363 bilion. 

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan Sarawak berkata daripada jumlah itu, RM4.563 bilion bagi tujuan perbelanjaan mengurus manakala RM7.8 bilion bagi tujuan pembangunan. 

“Dengan unjuran hasil RM12.749 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa sebanyak RM12.363 bilion, Belanjawan Negeri 2024 dijangka menjana lebihan sebanyak RM386 juta.

“Ini merupakan hasil tertinggi pernah diunjurkan dan belanjawan terbesar yang pernah diumumkan Kerajaan Sarawak dalam sejarah, satu bukti kejayaan usaha merekayasa semula hasil kami dan pengurusan kewangan yang berhemat.  

“Dengan ini, kita mengguna pakai belanjawan pengembangan yang melabur banyak dalam infrastruktur dan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai teras utamanya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan anggaran Belanjawan Negeri 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata hasil cukai menyumbang sebanyak RM5.704 bilion atau 45 peratus daripada jumlah anggaran hasil 2024. 

Manakala hasil bukan cukai dianggarkan sebanyak RM6.390 bilion atau 50 peratus daripada jumlah anggaran hasil 2024.  

Sementara itu hasil daripada terimaan bukan hasil dijangka sebanyak RM28 juta terutama daripada deposit tidak dituntut, lebihan bayaran diperoleh semula dan pelupusan kenderaan.  

Pemberian dan pembayaran balik persekutuan pula dijangka menyumbang sebanyak RM627 juta kepada anggaran hasil 2024, meningkat berikutan keputusan kerajaan persekutuan untuk meningkatkan Geran Khas interim untuk Sarawak. 

Bagi perbelanjaan biasa pula kata Abang Johari, dicadangkan sebanyak RM12.363 bilion di mana RM4.563 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus manakala RM7.8 bilion adalah bagi tujuan pembangunan.

Dalam pada itu, bertemakan Pembangunan Untuk Semua: Bersama Membina Sarawak Sejahtera, Mampan dan Bersatu, belanjawan ini direka dengan teliti untuk memastikan bahawa pembangunan menyentuh setiap sudut negeri dan merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar. 

Belanjawan ini turut menggariskan 12 teras strategik, Mempercepatkan Pertumbuhan Ekonomi, Merangsang Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar, Menggalakkan Pelaburan Keusahawanan dan PKS, Mentransformasikan Sarawak Menjadi Ekonomi Berdaya Saing dan Berdaya Tahan, Memperkukuh Modal Insan dan Pembangunan Bakat dan Mempergiatkan Transformasi Digital. 

Lagi teras strategik digariskan di bawah cadangan belanjawan ini, Menggalakkan Kelestarian Alam Sekitar, Memperkukuh Kebajikan Masyarakat dan Jaringan Keselamatan, Mempromosikan Sukan dan Pemerkasaan Belia, Membangunkan Ekonomi Berasaskan Inovasi dan Berorientasikan Pengetahuan, Membanteras Kemiskinan dan Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat serta Meningkatkan Kapasiti Kerajaan dan Penyampaian Perkhidmatan.