Uggah mencuba alat muzik tradisional semasa melawat pempamer sebelum merasmikan Majlis Penutupan Program Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Tebingan Sungai Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi 

KUCHING: Usaha menyatupadukan rakyat di seluruh Sarawak dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 menerusi tunjang 'Keterangkuman Sosial' bukan hanya retorik semata-mata, tegas Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, di bawah tunjang berkenaan, pelbagai program pembangunan diusahakan, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negeri ini.

"Beberapa program pembangunan di Sarawak telah diusahakan bagi menentukan polisi 'Keterangkuman Sosial' dapat dilaksanakan dan ia bukan hanya retorik.

"Penting untuk kerajaan memainkan peranan dalam membentuk dasar dan program bagi menjaga perpaduan di Sarawak kestabilan ekonomi, politik dan sosial," ujarnya.

Uggah tiba di pekarangan pentas utama bagi merasmikan Majlis Penutupan Program Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan, di Tebingan Sungai Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Tebingan Kuching di sini, hari ini.

Antara buktinya, kata Uggah, sebanyak sembilan agensi pembangunan telah ditubuhkan bagi membangunkan Sarawak.

"Kesemua agensi pembangunan ini telah dibangunkan di seluruh pelosok negeri demi memberi manfaat kepada komuniti di setiap kawasan terbabit.

"Setiap agensi diperuntukkan RM1.5 bilion dan ini pendekatan baharu kerajaan bagi memastikan pembangunan dapat diselaraskan dengan berkesan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Uggah merakamkan kenangan bersama tetamu kehormat dan peserta yang membuat persembahan pada Majlis Penutupan Program Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Tebingan Kuching hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

"Usaha ini sekali gus menentukan rakyat tidak mengira bangsa dan agama dapat menerima manfaat daripada projek yang dijalankan oleh kerajaan," jelas Menteri Kewangan Kedua itu.

Uggah pada masa yang sama menekankan perpaduan dan solidariti di Sarawak antara model yang terdapat di Malaysia di mana masyarakat daripada pelbagai kaum hidup dalam keadaan harmoni.

"Kita mempunyai 35 kumpulan etnik di Sarawak dan ia merupakan cabaran besar bagi kerajaan dalam menentukan supaya perpaduan dapat dikekalkan, sekali gus mengelakkan konflik.

"Kita (Sarawak) dapat hidup dalam keadaan aman dan damai serta sebarang konflik yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik," tambahnya.

Uggah menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi yang terlibat sepanjang minggu perpaduan itu berlangsung semasa majlis berkenaan. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

Sehubungan itu, beliau berharap agar rakyat tidak leka dan meningkatkan perpaduan di negeri ini.

Mengenai sambutan itu, Uggah berkata ia membolehkan masyarakat daripada pelbagai kaum lebih mengenali antara satu sama lain.

"Ia antara langkah yang boleh dijadikan tapak integrasi baharu dalam menghasilkan detik-detik perpaduan yang manis dan akhirnya dapat memajukan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dalam ucapan aluannya berkata, pelbagai program telah dilaksanakan sepanjang Minggu Perpaduan tersebut.

Antaranya, 'Unity Walk', Program Kembara Ilmu, pameran 17 rumah etnik, pameran 60 Tahun Malaysia, pameran 21 agensi kerajaan, Jualan Rahmah, jualan produk usahawan, tayangan filem pendek 'Budak Terabai' dan sebagainya.

Justeru, beliau berterima kasih kepada Kementerian Perpaduan Negara yang telah memberi penghormatan kepada Sarawak untuk menjadi lokasi Minggu Perpaduan peringkat kebangsaan pada tahun ini.

Fatimah turut mendedahkan perpaduan dan integrasi sebagai ramuan utama untuk kestabilan ekonomi, sosial dan politik.

"Apabila perpaduan dan solidariti kita kukuh, pembangunan akan mudah untuk dilaksanakan selain dapat meningkatkan kesejahteraan sosial.

"Perpaduan ini tidak datang bergolek dan ia perlu ditanam dalam sanubari sejak kecil supaya ia akan sentiasa dinilai dan dihayati sepanjang hayat," katanya.

Hadir sama Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Hipni dan tetamu jemputan yang lain.