KUCHING: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan kini sedang rancak membangunkan infrastruktur pengilangan dan premis perniagaan di Lundu dalam usaha menyediakan persekitaran kondusif kepada usahawan tempatan.
Menterinya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, infrastruktur pengilangan dan perniagaan yang lengkap dan kondusif amat penting bagi memastikan kelangsungan ekosistem keusahawanan.
"Maka di Daerah Lundu ini, kementerian saya sedang membangunkan kemudahan infrastruktur untuk pengilangan dan juga premis perniagaan untuk usahawan tempatan merancakkan lagi aktiviti pengilangan dan perniagaan mereka.
"Antara projek tersebut ialah Estet Perindustrian Sematan Fasa 1 (dengan peruntukan RM8.5 juta), Anjung Usahawan Sematan (dengan peruntukan RM9.3 juta), dan Anjung Usahawan Telok Melano (dengan peruntukan RM5 juta)," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalannya, Datuk Malcom Mussen Lamoh pada perasmian Program Jum Regista Bisnes di Dewan Masyarakat Lundu di Lundu, hari ini.
Timbalan Premier itu berkata, projek estet perindustrian ini akan menyediakan kawasan perindustrian yang dilengkapi dengan infrastruktur asas bagi tujuan aktiviti pengilangan.
Manakala premis Anjung Usahawan katanya, akan menyediakan ruang kepada pengusaha mikro dan kecil dan sederhana (PMKS) untuk memproses dan memasarkan produk-produk mereka di tempat yang lebih selesa, selamat, bersih dan terjamin.
Mengenai program Jum Regista, Awang Tengah berkata, pada tahun 2022, program itu telah diadakan di Bintulu, Serian, Sibu, Samarahan, Marudi, Kapit, Saratok dan Sarikei dengan seramai 1,129 usahawan telah didaftarkan di lapan lokasi terbabit.
"Semenjak program ini diperkenalkan oleh kementerian pada tahun 2020 seramai 2,529 usahawan telah dibantu dan berjaya mendaftarkan perniagaan mereka melalui program Jum Regista Bisnes.
"Pada tahun 2023 kita telah mengadakan program yang serupa di Miri dan seramai 181 orang peserta telah menghadiri program ini.
"Kita amat bersyukur kerana kerajaan Sarawak amat prihatin terhadap rakyat yang terkesan daripada pandemik COVID-19," katanya.
Beliau memaklumkan selain bantuan daripada kerajaan persekutuan, kerajaan Sarawak juga telah menyediakan peruntukan lebih daripada RM6.7 bilion di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 sehingga BKSS 9.0.
"Semua pakej ini bertujuan untuk membantu rakyat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas dari segi kewangan dan bukan kewangan," katanya.
Awang Tengah berkata, golongan PKS memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan, menambah pendapatan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, di Malaysia, PKS termasuk perusahaan mikro, penjaja serta peniaga kecil dan kumpulan B40 mewakili 97.4 peratus daripada keseluruhan komuniti perniagaan.