Tiang (tujuh kiri), Bujang (lapan kiri) dan Tan (dua kiri) bersama yang lain merakamkan kenangan di hadapan pintu gerbang di Pintu 2 Pasar Sentral Sibu hari ini.

SIBU: Pintu gerbang hiasan Hari Raya dan Hari Gawai yang didirikan di Pintu 2 Pasar Sentral Sibu akan memeriahkan sambutan kedua-dua perayaan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pasar dan Peniaga Kecil Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Albert Tiang berkata, ini bertujuan untuk mempromosikan musim perayaan di pasar tersebut supaya kelihatan lebih ceria.

"Kami selalu mendirikan pintu gerbang di pasar tersebut apabila setiap kali musim perayaan.

"Sebelum ini, kami mendirikan pintu gerbang untuk sambutan perayaan Hari Krismas dan Tahun Baharu Cina, kali ini untuk Hari Raya dan Hari Gawai," jelasnya ketika ditemui oleh pemberita, hari ini.

Katanya, mereka juga ingin membawa kemeriahan musim perayaan ke pasar tersebut dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakan-rakan muslim dan Selamat Hari Gawai kepada rakan-rakan Dayak.

"Kos pembinaan pintu gerbang tersebut sebanyak RM3,000 dan ditaja oleh Persatuan Penjaja-Penjaja Bahagian Sibu," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MPS Bujang Abdul Majid berkata, Pasar Sentral Sibu dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat termasuk Cina, Melayu, Iban dan semua masyarakat yang ada di Sarawak.

"Rakyat di Sarawak menyambut perayaan Tahun Baharu Cina, Hari Raya pada April ini, Hari Gawai (Jun) dan Krismas (Disember).

"Itulah tujuan untuk mendirikan pintu gerbang ini sebagai gabungan Raya dan Gawai kerana jarak masa antara kedua-dua perayaan tersebut tidaklah begitu jauh," ujarnya.

Selain itu katanya lagi, tujuan mendirikan pintu gerbang tersebut adalah untuk menjadikan pasar tersebut lebih harmoni.

"Setiap perayaan, kita meraikannya bersama, kita memahami setiap musim perayaan.
"Kita juga menghargai patriotisme semua masyarakat di Sarawak," ujarnya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja Bahagian Sibu Tan Hong King.