SIBU: Seorang pejalan kaki warga emas maut dipercayai menjadi mangsa kes langgar lari di Jalan Lanang pada malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berumur 72 tahun itu dikatakan sedang melintas jalan apabila dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti nombot plat pendaftarannya dalam insiden pada jam 9.30 malam.
"Kejadian itu berlaku ketika mangsa yang sedang melintas jalan telah bergesel dengan sebuah kenderaan kemudian terjatuh dan dilanggar oleh sebuah kereta yang tidak pasti nombor plat pendaftaran dari arah lorong kanan sebelum pemandu kenderaan terbabit terus melarikan diri dari tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang mengalami cedera parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa oleh pihak polis ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.
Zulkipli berkata, pihaknya sedang memburu suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Salman Zulfitri Sheekandar menerusi talian 013-9999269.
Kes tersebut katanya, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.