SIBU: Seorang lelaki berusia 42 tahun yang dirakam sedang menghunus pisau ke arah orang pada Disember tahun lalu dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Ling Pick Teck yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1958 kerana memiliki senjata serangan di tempat awam.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki sebilah pisau di Jalan Bukit Assek pada 27 Disember 2022 kira-kira jam 9 malam.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengacukan pisau ke arah pengguna jalan raya kira-kira jam 10.30 pagi berhampiran sebuah tokong pada 27 Disember 2022.
Kejadian itu dirakamkan oleh orang awam.
Bertindak atas maklumat itu, polis mencarinya untuk membantu siasatan.
Tertuduh telah ditahan pada hari yang sama jam 9 malam di Jalan Bukit Assek.
Hakim Mahkamah Sesyen Marutin Pagan mendengar pendakwaan kes itu yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Rex Heng Yi Min.