KUCHING: Dua lelaki tempatan disyaki suspek kes pembunuhan seorang pekerja sebuah ladang sawit di Lundu diberkas polis pada Rabu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 25 tahun terbabit ditangkap di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak, Lundu.
"Pasukan polis turut merampas sebatang senjata yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa dalam kejadian tersebut.
"Siasatan terperinci akan dijalankan dari pelbagai sudut," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.
Kes tersebut dilaporkan berlaku pada 10 Mac lalu di hadapan pagar masuk sebuah ladang sawit di Lundu iaitu sekitar jam 9.20 malam.
Sebelum kejadian, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun yang berasal dari Kampung Senibong Sejirin telah memberitahu pihak pengawal keselamatan ingin berjumpa seseorang di hadapan pondok pengawal tersebut.
Selang beberapa minit, mangsa didatangi sebuah kereta jenis sedan sebelum dia berlari semula ke pondok pengawal lalu rebah.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan operasi memburu suspek dilancarkan sehingga membawa kepada penangkapan dua suspek terbabit.