ATHENS: Polis Greece memberitahu AFP kelmarin mereka telah menahan dua lelaki Pakistan yang berasal dari Iran bagi serangan anti-Semitik yang dirancang di tengah Athens, ketika Israel menuduh Tehran mendalangi rancangan itu.
Negara Yahudi itu menyatakan ia merupakan satu cubaan baharu oleh musuh ketatnya Iran “untuk melakukan keganasan terhadap sasaran Israel dan Yahudi di luar negara”.
“Selepas siasatan terhadap suspek di Greece, pihak Mossad telah membantu merungkai pengintipan terhadap rangkaian itu, cara-cara operasinya dan hubungan dengan Iran,” kata pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu merujuk kepada agensi perisikan negara Israel.
“Sebagai sebahagian daripada siasatan, ia didapati bahawa infrastruktur di Greece merupakan sebahagian daripada satu rangkaian Iran yang luas, dijalankan dari Iran bagi banyak negara lain,” menurut satu kenyataan.
Jurucakap polis Greece Konstantina Dimoglidou memberitahu AFP “dalang utama” bagi kumpulan itu adalah seorang “rakyat Pakistan yang menetap di luar Eropah”.
Sumber polis, bercakap dengan syarat identitinya dirahsiakan, menyatakan orang itu menetap di Iran.
“Selepas menyelaraskan tindakan oleh polis Greece dan Perkhidmatan Perisikan Negara, sebuah rangkaian pengganas telah dibubarkan yang, dari luar negara, telah merancang serangan terhadap beberapa sasaran yang dipilih dengan berhati-hati di wilayah Greece,” menurut kenyataan polis.
Polis berkata rangkaian itu telah “memilih sasaran bagi serangan” dan sedang merancang tentang bagaimana untuk melaksanakannya.
Komuniti Yahudi di Greece berjumlah kira-kira 5,000 orang. Kerajaan mempunyai hubungan yang baik dengan Israel, termasuk beberapa perjanjian keselamatan dan ketenteraan.
Sumber polis Greece memberitahu AFP dua lelaki Pakistan yang berasal dari Iran itu berusia 27 dan 29 tahun serta telah merancang serangan ke atas beberapa kawasan yang sering kali dikunjungi oleh rakyat Israel di tengah Athens.
Sumber memberitahu bahawa lelaki itu telah menyasarkan sebuah bangunan yang menempatkan saumaah dan restoran Yahudi.
Telefon bimbit milik dua lelaki yang ditangkap telah membolehkan penyiasat untuk merakamkan perbualan, video dan lakaran untuk tempat yang disasarkan, kata sumber yang sama.
Negara itu belum pernah menjadi sasaran bagi mana-mana serangan pengganas sejak beberapa tahun ini.
Polis Greece menyatakan suspek sedang cuba untuk melemahkan keselamatan negara dan “hubungan antarabangsanya”.
Pada awal kelmarin, perdana menteri Greece yang berdepan kecaman mengumumkan pilihan raya akan diadakan pada 21 Mei, ketika kemarahan rakyat memuncak terhadap kegagalan kerajaan yang dipersalahkan ke atas nahas kereta api pada bulan lepas yang mengorbankan 57 orang.
Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis, yang penggal empat tahunnya akan tamat pada Julai, ingin mendapatkan pemilihan semula dengan janji bagi penambahbaikan keselamatan selepas nahas kereta api terburuk di negara ini serta memperkukuhkan ekonomi.
Kerajaannya turut berjanji akan memperketatkan keselamatan dan menghalang migrasi haram dengan menutup sempadannya dengan bantuan agensi sempadan Frontex di Kesatuan Eropah. — AFP