Anggota forensik polis tiba di pusat Islam Ismaili di Lisbon kelmarin selepas serangan pisau mengorbankan dua nyawa. — Gambar AFP

LISBON: Dua orang maut kelmarin dalam serangan pisau di sebuah pusat Islam di ibu kota Lisbon di Portugal yang mencederakan  beberapa yang lain, kata polis.

Perdana Menteri Antonio Costa berkata masih “terlalu awal untuk membuat sebarang interprestasi atas tindakan jenayah ini.”

“Semua perkara merujuk kepada ini sebagai satu insiden terasing,” beliau memberitahu wartawan.

Gambar di televisyen Portugal menunjukkan anggota polis yang bersenjata berkawal di luar pusat Islam Ismaili.

“Serangan itu menyebabkan beberapa orang tercedera dan, buat masa ini, dua orang terkorban,” kata polis dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa penyerang yang disyaki telah ditembak dan ditangkap.

Polis berkata anggotanya tiba di bangunan itu sejurus sebelum jam 11 pagi waktu tempatan sebelum diberikan amaran bahawa serangan pisau sedang berlaku.

“Anggota polis telah bertembung dengan seorang lelaki yang bersenjatakan sebilah pisau besar. Dia diarahkan untuk menghentikan serangan, namun tidak patuh, bergerak menuju ke arah anggota polis, sambil memegang pisau,” tambah kenyataan polis itu.

“Berdepan dengan ancaman serius, anggota polis terpaksa menggunakan senjata api terhadap lelaki itu, menyerang dan meneutralkannya.”

Muslim Syiah Imami Ismaili, secara umumnya dikenali sebagai Ismaili, di bawah cabang Islam Syiah, menurut laman sesawang rasminya. 

Penduduk Islam Ismaili merupakan sebuah “komuniti yang pelbagai budaya” menetap di lebih 25 negara di seluruh dunia, jelasnya.

Terdapat kira-kira 7,000 penduduk Islam Ismaili di Portugal, sebuah negara dengan seramai kira-kira 10 juta rakyat. — AFP