Coates (dua kiri) dan Son (kiri) bertegang leher dengan pengadil (kanan) dalam perlawanan persahabatan di antara Korea Selatan dan Uruguay di Seoul, kelmarin. — Gambar AFP

SEOUL: Sebastian Coates dan Matias Vecino menjaringkan gol ketika Uruguay menewaskan Korea Selatan 2-1 di Seoul pada hari Selasa untuk menafikan kemenangan pertama jurulatih baharu Jurgen Klinsmann.

Hwang In-beom menjaringkan gol tunggal Korea Selatan dalam perlawanan persahabatan, sebuah perlawanan timbal balik kepada perlawanan kumpulan Piala Dunia November, di Stadium Piala Dunia Seoul.

Kedua-dua pasukan bermain seri tanpa jaringan di Qatar, dan diketuai pengurus sementara Marcelo Broli, Uruguay muncul di puncak hasil jaringan dua pemain tertua dalam kesebelasan utama yang masih muda.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan itu,” kata Broli selepas itu. “Pemain memainkan strategi dengan sangat baik.”

Coates, 32, memberi kelebihan kepada pasukan Amerika Selatan itu pada minit ke-10, menjaringkan gol menerusi tandukan sepakan sudut Federico Valverde yang melepasi penjaga gol Jo Hyeon-woo.

Pasukan tuan rumah hanya mempunyai sedikit ruang untuk bergerak apabila Uruguay terus mengasak ke atas padang.

Korea Selatan bernafas sedikit pada separuh masa pertama, apabila Son Heung-min menghalakan sepakan percuma tinggi dan tersasar jauh pada minit ke-37. Lee Ki-je pula membuat rembatan keluar tiang kanan seminit kemudian.

Hwang menjaringkan gol penyamaan enam minit selepas rehat apabila hantaran lintang Lee Kang-in melencong dari pertahanan Uruguay dan mendarat pada kaki Lee Ki-je.

Uruguay kembali mendahului pada minit ke-63 apabila Vecino, 31, menjaringkan bola muntah selepas Jo menepis sepakan percuma Joaquin Piquerez.

Korea Selatan menyangka mereka telah menyamakan kedudukan sekali lagi pada minit ke-84 dengan tendangan cantik dari dalam kotak oleh Oh Hyeon-gyu, namun gol dibatalkan selepas disahkan ofsaid daripada rujukan video bantuan pengadil (VAR).

“Kami menghadapi masalah dalam 20 minit pertama hari ini. Kami tidak dapat mencari rentak pada awalnya,” kata Klinsmann.

Tetapi, menjelang penghujungnya, “kami menjadi pasukan yang jauh lebih baik,” tambahnya.

Korea Selatan mensia-siakan kelebihan dua gol dalam perlawanan Jumaat menentang Colombia di Ulsan dan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2. — AFP