SIBU: Seorang akauntan di sini mengalami kerugian RM48,560 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan melalui skim pinjaman tidak wujud dalam talian.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 30 tahun itu yang mendakwa dia ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman secara dalam talian pada Rabu.
"Wanita itu terjerat selepas membuat pinjaman RM20,000 melalui satu laman sesawang sehingga membuat pembayaran sebagai dokumen perbankan, pendaftaran, yuran pemprosesan dan pembayaran cukai untuk kelulusan segera pinjaman itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, mangsa telah membuat pembayaran sebanyak RM48,560 ke dalam lima akaun bank dalam 12 transaksi melalui perbankan Internet sejak 28 Mac lalu.
Ujarnya, mangsa turut dijanjikan pulangan wang semula selepas mendapat kelulusan pinjaman.
"Selepas membuat semua pembayaran, mangsa masih diminta membuat beberapa pembayaran lagi bagi tujuan pengeluaran semua wang.
"Curiga dan terasa tertipu, mangsa telah bertindak membuat laporan polis untuk tindakan dan siasat lanjut," kata Zulkipli.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.