KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,417 usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) menerima pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sebanyak RM15.8 juta sejak 2012 hingga tahun lepas, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), pembiayaan yang ditawarkan adalah dari RM1,000 sehingga RM100,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun dan kadar keuntungan dikenakan sebanyak empat peratus setahun.
“Pada Ogos 2022, skim kemudahan pembiayaan kepada OKU telah ditambah baik dengan usahawan hanya dikenakan kadar keuntungan sebanyak dua peratus setahun sahaja dengan moratorium selama 12 bulan bagi pembiayaan sehingga RM10,000.
“Sebanyak 23 usahawan OKU dengan pembiayaan bernilai RM162,000 telah mendapat manfaat melalui skim ini,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia pada Khamis.
Kementerian berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi berhubung jumlah peruntukan yang telah disediakan oleh TEKUN kepada peniaga OKU sejak 2012-2022 dan inisiatif yang dilaksanakan KUSKOP bagi meningkatkan penglibatan OKU dalam aktiviti perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana.
Selain itu, kementerian juga telah melaksanakan Program Usahawan Berkebolehan dan Berkeyakinan sejak 2021 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM790,000 untuk memberi latihan, bimbingan dan geran perniagaan kepada golongan OKU. - BERNAMA