Gambar fail

PUTRAJAYA: Sarawak berhasrat menjadikan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 sebagai penganjuran terbaik selepas dipilih secara rasmi hari ini sebagai tuan rumah bagi edisi ke-21.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) berkata kali ini Sarawak sudah cukup bersedia berbanding ketika menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar negara itu pada 2016.

“Sebelum ini ada angin-angin bahawa boleh ke Sarawak jadi penganjur (pada 2024). Perkara ini dibawa ke Kabinet negeri dan Kabinet bersetuju sekiranya diberi ruang, kita terima untuk jadi penganjur. Insya-Allah kita akan berusaha menjadikan Sukma penganjuran yang terbaik dan jadi penganjur terbaik.

“Kali ini saya rasa kita sudah cukup bersedia sehinggakan sukan-sukan pilihan (juga) sudah diputuskan hari ini. Ia belum lagi dibawa ke peringkat negeri (tetapi) kita sudah putuskan supaya semua negeri dapat bersedia seperti kita,” katanya ketika ditemui di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan Sarawak selaku tuan rumah Sukma 2024 selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma di sini.

Sementara itu, Abdul Karim berkata selain tertumpu di Kuching, pihaknya bercadang membawa ‘aura’ Sukma ke empat bandar lain di negeri itu iaitu Sri Aman, Betong, Sibu dan Miri bagi memastikan setiap rakyat dapat menikmati kemeriahan temasya sukan dwitahunan itu.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata langkah itu juga dapat memberi anjakan kepada sukan-sukan yang dipertandingkan selain dapat memupuk minat rakyat setempat terhadap sukan.

“Dari segi kemudahan, saya rasa Sarawak mempunyai kemudahan-kemudahan yang mencukupi. Kompleks sukan (Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak) di Kuching adalah antara kompleks sukan negeri terbesar di Malaysia, hanya satu kita belum ada iaitu velodrom,” katanya.

Beliau berkata penganjuran Sukma 2024 juga diharap dapat memberi impak positif kepada ekonomi negeri dari aspek pelancongan.

Sukma 2024 bakal menyaksikan Sarawak menjadi tuan rumah buat kali ketiga selepas edisi 1990 dan 2016. - BERNAMA