Watt di Facebooknya berkongsi pengalaman kejadian menyelamat mangsa yang terlibat dalam kemalangan kereta yang terhumban ke dalam longkang besar di Sibu, hari ini.

SIBU: Sayu mendengar jeritan pasangan guru yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Km 14 Jalan Tuanku Abdul Rahman, sekitar jam  6.20 pagi semalam, begitulah perasaan yang dikongsikan penyanyi Iban genre rock, Watt Rock di Facebooknya, hari ini.

Katanya, dia berasa lemah mendengar jeritan dari kereta yang terbalik dan tenggelam dalam sebuah longkang besar kerana tidak mampu berbuat apa-apa.

"Saya melihat isteri saya tercungap-cungap berlari sambil membawakan pembuka tayar kereta kepada saya dan kemudiannya menelefon pihak ambulans.

"Saya bersama seorang sahabat berusaha memecahkan cermin kereta mangsa.

"Saya sempat tenggelam hingga ke paras kepala dan berasa seolah-olah ada sesuatu yang menarik kaki ke dalam air.

"Pada masa yang sama, saya melihat seorang lelaki berbaju oren (sahabat) terjun dari tebing seberang longkang itu dan membantu untuk menyelamatkan mangsa.

"Kami berdua berusaha memecahkan cermin kereta tapi sukar walaupun tekanan air tidak berapa kuat.

"Selepas pukulan demi pukulan, kami berjaya memecahkan cermin dan dengan pantas terus menarik seorang lelaki keluar dari kereta dan kemudiannya seorang wanita," jelasnya.

Selepas medapat kepastian daripada wanita itu bahawa tiada lagi penumpang di dalam kereta tersebut, Watt bersama sahabatnya dan seorang anggota tentera cuba memberikan bantuan CPR kepada mangsa lelaki yang tidak sedarkan diri itu.

"Tapi apakan daya, Tuhan lebih menyayanginya.

"Kami hanya mampu memberitahu wanita itu kami telah membuat yang terbaik untuk menyelamatkan lelaki tersebut," ujarnya sambil berharap keluarga mangsa bersabar menempuh ujian tersebut.

Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sibu menggunakan ambulans.

Terdahulu, Watt bersama isterinya sedang dalam perjalanan ke arah bandar menaiki kereta bersama anak mereka apabila terlihat sebuah kereta jenis sedan berwarna putih yang bergerak dari arah bandar terbabas lalu terjatuh ke dalam longkang tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili ketika dihubungi telah mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Kedua-dua mangsa adalah pasangan guru di sebuah sekolah menengah di Sibu Jaya.

Semasa kejadian mereka dipercayai sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak Datuk Dr Azhar Ahmad turut menyampaikan ucapan takziah di laman Facebook jabatan tersebut kepada keluarga mendiang.