MOSCOW: Letupan bom tangan yang tidak disengajakan di sebuah wilayah Rusia yang bersempadan dengan Ukraine telah menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh kematian, lapor agensi berita Interfax kelmarin.

“Empat kematian ditemui antara mangsa yang hilang. Jumlah mangsa telah bertambah kepada tujuh orang,” perkhidmatan kecemasan memberitahu Interfax.

Ia menambah bahawa pencarian empat orang lagi sedang diteruskan.

Pada hujung minggu seorang sarjan di wilayah selatan Belgorod meletupkan sebiji bom tangan “tanpa niat” di dalam sebuah asrama di satu lokasi untuk kakitangan tentera, lapor Interfax, memetik perkhidmatan kecemasan.

Menurut Interfax, bom tangan itu mencetuskan letupan peluru dan kemudian kebakaran, membunuh tiga anggota tentera dan mencederakan 16 yang lain, termasuk pelakunya.

Beberapa laporan yang tidak disahkan dari rangkaian Telegram Baza, yang  akrab dengan perkhidmatan keselamatan Rusia, menyatakan semua yang meninggal dunia dan tercedera adalah anggota tentera yang dikerahkan untuk berjuang di Ukraine.

Rusia mengumumkan pengerahan 300,000 anggota pada lewat September untuk memperkuatkan pasukan tentera Rusia di Ukraine selepas rentetan kekalahan  di kawasan tersebut. — AFP