Webinar bertajuk ‘Implementing Best Practices for Strata Living in Sarawak’ anjuran SHEDA dan disokong oleh MPHLG akan diadakan pada 11 Februari 2023.

KUCHING: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) akan mengadakan webinar bertajuk ‘Implementing Best Practices for Strata Living in Sarawak’ untuk manfaat pemilik rumah strata pada 11 Februari 2023.

Menurut kenyataan medianya hari ini, webinar secara dalam talian yang akan diadakan dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari itu adalah selaras dengan penekanan kerajaan Sarawak terhadap kepentingan pendigitalan.

Webinar itu katanya, disokong oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG).

Jelasnya juga, SHEDA dan MPHLG bersetuju bahawa terdapat banyak kelebihan mod dalam talian, terutamanya peserta dari seluruh Sarawak akan dapat mengakses sesi itu dari keselesaan rumah mereka sendiri.

“Webinar ini merupakan peluang keemasan untuk pemilik rumah mendapatkan jawapan terus daripada MPHLG. Selepas pendaftaran, pemilik rumah juga akan diberi peluang untuk mengemukakan soalan mereka sebelum acara tersebut.

“Sebagai tambahan kepada pemilik rumah strata sedia ada, SHEDA amat mengesyorkan penyertaan individu yang berminat untuk membeli hartanah strata di Sarawak, ahli jawatankuasa pengurusan bersama, ahli jawatankuasa pengurusan perbadanan, pengurus hartanah, perunding dan ejen hartanah, serta juruaudit,” katanya.

Dengan kandungan berdasarkan Ordinan Pengurusan Strata 2019 dan Peraturan Strata (Pengurusan & Penyelenggaraan) 2022, objektif utama inisiatif itu ialah mendidik pihak berkepentingan strata tentang peranan, tanggungjawab dan kewajipan yang berkaitan dengan kehidupan berstrata.

Selain itu, ia memperkasakan pihak berkepentingan untuk menyumbang dan terlibat dalam mesyuarat dan Badan Pengurusan Bersama (JMB), selain menggalakkan kerjasama yang diperlukan untuk berjaya mengurus dan mengekalkan taraf keseluruhan kehidupan strata di Sarawak.

Pendaftaran kini dibuka di https://t.ly/9E27 dan pelbagai pilihan pembayaran termasuk SPayGlobal yang turut dikenali sebagai Sarawak Pay juga tersedia.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi SHEDA menerusi talian 082-366 334, 016-897 2723 (Michelle) atau 016-578 9541 (Florence).