Abang Johari bersama Juma’ani (tiga kanan), Abdul Karim (dua kiri), Zuraini (dua kanan) serta Ngui (kanan) memotong reben simbolik perasmian Restoran BCM, malam tadi. - Gambar Chimon Upon.

KUCHING: Sarawak dijangka membina satu lagi muzium di Bintulu yang bermodelkan Muzium Budaya Borneo (BCM) di sini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan penubuhan muzium itu menyedari bahawa Bintulu juga mempunyai sejarahnya tersendiri.

“Kita akan mempunyai satu lagi muzium bermodelkan muzium ini (BCM) di Bintulu.

“Bintulu juga mempunyai sejarahnya sendiri kerana Bintulu adalah kelahiran demokrasi di Sarawak, di mana mesyuarat pertama dewan undangan negeri kita sebenarnya berlangsung pertama kali,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Restoran Muzium Budaya Borneo yang dihadiri Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di BCM di sini, malam tadi.

Menurut Abang Johari muzium berkenaan mengambil masa tiga tahun pembinaannya yang memaparkan warisan sejarah Bahagian Bintulu.

Muzium itu katanya merupakan versi yang lebih kecil dari Muzium Budaya Borneo.

“Muzium ini nanti akan dilengkapi dengan kemudahan terkini dan sebuah restoran juga akan dibuka di dalam bangunan muzium.

“Ia bagi memenuhi keperluan masyarakat tempatan, khususnya populasi pekerja asing yang ramai di sana,” katanya.

Mengulas lanjut, Abang Johari memberitahu Kuching telah disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai Bandar Gastronomi Kreatif Unesco.

Maka itu beliau menggalakan khasnya restoran di Muzium Budaya Borneo juga akan menyajikan masakan tempatan kepada pengunjung.

“Kuching telah disenaraikan sebagai Bandar Gastronomi Kreatif Unesco kerana kita menghimpunkan pelbagai sajian.

“Kita berharap pengusaha restoran dapat menggunakan pendekatan menyediakan sajian tempatan kepada pengunjung,” katanya.

Hadir sama majlis isteri Abang Johari, Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang dan isteri Abdul Karim Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar dan Pengasas Restoran BCM, Ngui Ing Ing.