Antara kayu balak dan jentera yang terdapat di kawasan serbuan itu.

MUKAH: Pihak polis mencatat rampasan bernilai RM1,972,450 meliputi 390 kayu balak dan beberapa kenderaan berat dalam kes pembalakan haram di Batu 45, Batu Kua, Jalan Sibu-Selangau pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, serbuan dilakukan sepasukan anggota polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu sekitar 4.30 petang hasil maklumat dan risikan.

"Seorang pekerja lelaki warga tempatan berumur 49 tahun turut berada di kawasan tersebut ketika serbuan dijalankan," katanya kepada Utusan Borneo.

Setelah pemeriksaan, didapati terdapat sejumlah kayu balak yang tidak mempunyai tanda yang sah daripada pihak berkuasa.

Aktiviti pembalakan tersebut juga tambahnya, didapati dijalankan secara tidak sah iaitu tanpa sebarang permit.

Polis mengambil tindakan menahan pekerja terbabit, merampas kesemua 390 kayu balak pelbagai saiz.

Turut disita lapan kenderaan berat iaitu dua jentolak, tiga jengkaut, dua lori dan sebuah trak.

Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Hutan Wilayah Sibu untuk siasatan.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.